SHALIN ketika melawat persiapan skuad tenis negara. FOTO MSN
SHALIN ketika melawat persiapan skuad tenis negara. FOTO MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih tenis negara, Zulkahiri Mohd Khir tidak anggap cabaran untuk mengumpul kesemua lapan pemainnya secara serentak berlatih di tanah air bagi membentuk skuad ampuh di Sukan Sea Kemboja 5 hingga 17 Mei depan adalah satu halangan besar.

Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan kebanyakkan pemainnya dihantar beraksi di kejohanan luar negara bagi membolehkan mereka mengumpul mata ranking sekali gus membantu Malaysia mendapatkan undian lebih baik menjelang temasya sukan dwi tahunan itu.

Hanya dua pemain sahaja yang berlatih di dalam negara, iaitu Christian Andre Liew serta Imran Daniel Abd Hazli.

"Dua minggu sebelum Sukan Sea, mereka semua dijangka akan pulang semula ke tanah air untuk kita membuat persiapan rapi, jadi waktu itu mereka berlatih bersama-sama.

"Mitsuki Leong ketika ini berada di India, Darrshan Suresh ada di Tunisia, Saw Jo Lee pula ada di Sepanyol, Shihomo Leong pula baru balik dari Singapura.

"Bila mereka bertanding di kejohanan luar, kebanyakkan lawan yang mereka tentang adalah pemain profesional, jadi ia akan memberikan mereka lebih banyak pendedahan dan pengalaman dan membantu mereka menjadi lebih bagus.

"Kita harap mereka mampu mara ke pusingan kedua, suku akhir dan sebagainya untuk mereka mengumpul mata ranking," jelas Zulkahiri yang ditemui ketika lawatan Timbalan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja 2023, Datuk Shalin Zulkifli ke Kompleks Tenis Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam masa yang sama, Zulkhairi turut menaruh keyakinan tinggi terhadap tuan rumah untuk menyiapkan venue, khusus untuk acara yang akan ditempatkan di Kompleks Sukan Nasional Morodok Techo.

"Untuk tuan rumah mendapatkan kelulusan gelanggang permukaan tenis, mereka perlu mendapatkkannya daripada Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), jadi saya rasa tidak masalah dari segi gelanggang.

"Acara tenis akan bermula pada 6 Mei, jadi kita akan bergerak lebih awal, sama ada 3 atau 4 haribulan, sebab kita nak cuba untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang berkenaan," tambahnya.

Edisi di Hanoi tahun lalu menyaksikan skuad negara membawa pulang dua pingat gangsa yang disumbangkan menerusi acara berpasukan lelaki dan beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 3:05 PM