SYED Agil (kiri) menegaskan bahawa skuad tenis negara mempunyai ‘sesuatu’ yang membezakan mereka dengan atlet negara lain. FOTO NSTP
SYED Agil (kiri) menegaskan bahawa skuad tenis negara mempunyai ‘sesuatu’ yang membezakan mereka dengan atlet negara lain. FOTO NSTP
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Berbekalkan 12 tahun pengalaman dalam dunia sukan tenis, Syed Mohamad Agil Syed Naguib yakin dapat memberikan saingan buat negara lain dalam temasya Sukan Sea kali ini.

Syed Agil, 28, bersedia menghadapi tentangan daripada negara seperti Thailand dan Vietnam yang mempunyai rekod baik sepanjang penglibatan mereka dalam Sukan Sea.

"Kekuatan fizikal dan tahap kecergasan saya masih dalam keadaan baik walaupun tak setangkas dahulu. Akan tetapi saya yakin dengan pengalaman yang saya ada.

"Atlet negara lain juga ramai yang masih baru, jadi boleh kata itu kelebihan jugalah buat saya. Sekarang ini saya dalam keadaan bersedia untuk bermain di sana," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga menegaskan bahawa skuad tenis negara mempunyai 'sesuatu' yang membezakan mereka dengan atlet negara lain.

Dari segi prestasi, dia sama sekali tidak merasakan atlet tenis negara jauh ketinggalan di belakang atlet negara jiran lain.

Sebaliknya, Syed Agil percaya dengan latihan serta bakat yang dimiliki atlet-atlet tempatan mampu menghadiahkan pingat buat negara.

"Mungkin negara luar rasa yakin untuk lawan Malaysia. Kita tidak hanya bermain untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita bermain untuk pasukan dan negara.

"Itu yang buat kita sama taraf atau mungkin lebih lagi dari mereka.

"Sebenarnya kita ramai pemain yang berbakat dan saya tak nampak beza dengan negara seperti Vietnam dan Thailand walaupun rekod mereka baik dalam Sukan Sea ini," katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Syed Agil adalah pada temasya Sukan Sea 2015 di Singapura apabila berjaya merangkul pingat gangsa bagi acara berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 10:13 PM