MEDIA, MSNT dan JBSNT bergambar sebelum pertandingan berlangsung di Coral Crown Bowl. FOTO Malik Muhamad
MEDIA, MSNT dan JBSNT bergambar sebelum pertandingan berlangsung di Coral Crown Bowl. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bagi menghargai peranan media, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) tampil dengan idea menganjurkan Kejohanan Bowling Golek Santai YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Negeri bersama media di Coral Crown Bowl, dekat sini, malam kelmarin.

Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, kejohanan julung kali diadakan itu bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) yang sentiasa memberikan sokongan dan idea dalam pembangunan sukan.

"Kita terpanggil untuk mengadakan perlawanan persahabatan buat kali pertama bagi menghargai peranan media yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam pembangunan sukan negeri dan juga negara.

"Selain itu ia mampu mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin serta boleh menjana idea yang bernas dan kreatif antara kedua-dua pihak," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.

Dalam perlawanan itu, sebanyak 13 pasukan mengambil bahagian dengan setiap kumpulan disertai empat pemain.

Pasukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) muncul juara dengan meraih 1,691 mata mengatasi pasukan MSNT B dengan 1,673 manakala tempat ketiga diraih pasukan MSNT A dengan 1,517 mata.

Turut beraksi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 10:06 PM