SKUAD karate negara antara yang cemerlang di Sukan Sea Hanoi.
SKUAD karate negara antara yang cemerlang di Sukan Sea Hanoi.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Meskipun tempoh penganjuran Sukan Sea Hanoi dan Kemboja hanya dibezakan setahun berbanding edisi sebelum ini, namun kontinjen negara melaungkan keyakinan ia tidak akan menjadi satu masalah buat atlet Malaysia untuk menampilkan aksi yang terbaik.

Keyakinan itu dilaungkan sendiri, ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Sea, Datuk Mohd Nasir Ali yang percaya atlet-atlet kebangsaan sudah membuat persiapan terbaik sebelum menjelang temasya edisi ini.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) percaya, momentum kontinjen negara yang diraih daripada Sukan Sea edisi lalu bukan sahaja dapat diteruskan, malah mampu untuk diperbaiki.

"Walaupun tempoh masa antara (Sukan Sea) Hanoi dan Kemboja dekat tetapi mereka (atlet) sudah buat persiapan sebelum temasya Hanoi berlangsung lagi, jadi dari segi waktu itu memang mencukupi.

"Momentum itu memang kita ada kerana hasil penglibatan di Hanoi sebelum ini. Kami dapati ada kesinambungan dan tiada jurang, oleh itu atlet-atlet kita lebih bersedia berbanding di Hanoi," katanya.

Untuk rekod, pada edisi terdahulu di Vietnam, Malaysia berjaya mengatasi sasaran 36 pingat emas apabila membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa dengan sukan terjun menjadi penyumbang emas terbesar menerusi lapan pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 5:38 PM