NASIR yakin dan percaya kontinjen negara tidak akan berhadapan masalah untuk merealisasikan misi berkenaan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
NASIR yakin dan percaya kontinjen negara tidak akan berhadapan masalah untuk merealisasikan misi berkenaan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Kontinjen negara yang beraksi di Sukan Sea Kemboja mempunyai misi serampang dua mata apabila turun beraksi di temasya dwitahunan itu pada Mei ini.

Bukan sahaja mahu memperbaiki kedudukan akhir pada edisi lalu malah kontinjen negara yang diketuai Datuk Mohd Nasir Ali tekad mahu mengatasi jumlah pungutan pingat emas yang diraih negara tahun lalu.

Menurut Nasir beliau yakin dan percaya kontinjen negara tidak akan berhadapan masalah untuk merealisasikan misi berkenaan memandangkan atlet-atlet yang disenaraikan kini sudah dalam keadaan bersedia selain berada di tahap yang lebih baik berbanding edisi di Hanoi.

"Kita rasa Sukan Sea Cambodia kita cuba anggap sebagai kesinambungan sukan Sea Hanoi yang baru diadakan tahun lepas. Dari segi persiapan atlet sepatutnya mereka lebih bersedia dan mereka capai tahap lebih baik dari Hanoi.

"Jadi memang keadaan sedemikian, di mana pergerakan serta latihan dah mula seperti biasa maka saya dan rakan-rakan dapat mencapai pencapaian lebih baik daripada Hanoi. Bukan sahaja dari jumlah pingat dan dari segi kedudukan.

"Itu memang harapan kami saya dan timbalan saya akan berkerja keras. Kita bukan sahaja ingin berkomunikasi dan pantau atlet yang dipilih ke Kemboja tetapi kita juga akan berinteraksi lebih dekat dengan pengurus dan jurulatih.

"Jadi InsyaAllah dengan sokongan dari MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) kami yakin bahawa kita akan dapat apa yang kita capai dari sebelum ini," katanya.

Untuk rekod pada temasya Sukan Sea Sea Hanoi tahun lalu, Malaysia diwakili 818 peserta termasuk 612 atlet membabitkan 37 jenis sukan daripada 40 yang dipertandingkan.

Pada edisi itu, kontinjen negara berjaya membawa pulang 39 pingat emas mengatasi mengatasi sasaran 36 emas yang ditetapkan sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan keenam di belakang tuan rumah, Vietnam yang meraih 204 emas, 121 perak dan 115 gangsa untuk muncul juara keseluruhan.

Dalam pada itu, Nasir mengakui terdapat beberapa kekangan dihadapi pasukan negara selepas beberapa sukan yang diletakkan prospek emas digugurkan di temasya kali ini.

Katanya lagi, sasaran pingat emas untuk Sukan Sea Kemboja akan diumumkan selewat-lewatnya April ini selepas pihaknya akan bermesyuarat sebelum dimuktamadkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 12:35 PM