FAUZI (berdiri) ketika sesi latihan skuad silat negara di Kompleks Sukan MSN. FOTO AZRUL EDHAM
FAUZI (berdiri) ketika sesi latihan skuad silat negara di Kompleks Sukan MSN. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bekas juara dunia, Mohd Fauzi Khalid sudah bersedia menurunkan segala ilmu, kepakaran dan pengalamannya kepada skuad pencak silat negara yang bakal membawa cabaran di temasya Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Beliau yang baharu sahaja menggalas tugas selaku jurulatih berjanji untuk membantu membina kekuatan baharu kepada pasukan pencak silat, dalam misi memastikan mereka berupaya mencipta kejayaan gemilang di temasya berprestij itu.

"Saya akan turunkan segala ilmu, kepakaran dan pengalaman kepada atlet pencak silat ini dalam usaha membantu memastikan mereka beraksi cemerlang dan meraih pingat di Kemboja.

"Ini tanggungjawab yang perlu saya lakukan apabila bergelar jurulatih, tambahan pula skuad kita terdiri 90 peratus atlet muda dan mereka memerlukan kemahiran yang tinggi untuk berdepan lawan di Kemboja nanti.

"Namun, saya yakin dan percaya, menerusi persiapan rapi dan latihan intensif dijalankan, atlet-atlet muda ini mempunyai potensi untuk meraih pingat," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini.

Mohd Fauzi akui atlet pencak silat negara perlu meningkatkan lagi tahap prestasi masing-masing terutama dari aspek taktikal serangan dan bertahan.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa kelemahan terutama dari aspek serangan dan bertahan dan kita sedang berusaha mencapai yang terbaik.

"Tambahan pula dengan beberapa peraturan baharu yang dikuatkuasakan dalam pertandingan kali ini yang mungkin akan memberi sedikit impak.

"Memang kita sedar pasukan ini belum 'sempurna' lagi, namun mereka mempunyai semangat yang tinggi dan saya yakin atlet-atlet ini ada kemahuan dan kemampuan untuk melakar kejutan di Kemboja nanti," kata jurulatih berasal dari Pulau Pinang itu.

Mengenai perasaannya bergelar jurulatih bermula awal tahun ini, Mohd Fauzi akui rasa teruja namun debarannya sangat kuat kerana sandaran yang tinggi terpikul pada bahunya bagi menjulang nama negara.

"Sebagai jurulatih kita kena jaga semua aspek bukan saja dari segi prestasi tetapi pemakanan dan kesihatan atlet. Inilah cabarannya selain perasaan bimbang jika atlet gagal menyerlah.

"Apapun, saya yakin dan percaya atlet muda kita ini mampu buat yang terbaik apabila cabaran bermula nanti," katanya yang memaklumkan skuad bimbingannya itu akan bertandang ke Bandung Indonesia, bagi menyertai satu kejohanan, bulan depan.

Pada temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam tahun lalu, pencak silat menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan sembilan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 4:34 PM