FAIZAL Azumu (tengah) berswafoto bersama atlet negara ketika majlis berbuka puasa kontinjen Malaysia di Majlis Sukan Negara hari ini. FOTO Bernama
FAIZAL Azumu (tengah) berswafoto bersama atlet negara ketika majlis berbuka puasa kontinjen Malaysia di Majlis Sukan Negara hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Hanoi di Vietnam mungkin kurang tekanan kali ini apabila mereka diletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 36 pingat emas untuk negara.

Jumlah sasaran itu jauh daripada matlamat ditetapkan pada Sukan Sea Filipina apabila kontinjen Malaysia diletakkan harapan membawa pulang 70 emas untuk negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain sasaran pingat emas terbabit, pihaknya turut meletakkan harapan supaya atlet mampu 35 perak dan 75 gangsa dengan jumlah keseluruhan pingat yang disasarkan sebanyak 146 pingat.

"Berdasarkan prestasi semasa sebanyak 15 jenis sukan yang disertai atlet negara dijangka akan menyumbangkan 36 pingat emas. Sukan terjun dan olahraga dijangka menjadi lubuk pingat emas negara. Kedua sukan ini mampu menyumbang lebih daripada 5 pingat emas.

"Berdasarkan prestasi semasa bonus pingat emas mungkin mampu diberikan sukan taekwondo, wushu, petanque, pencak silat, bina badan dan beberapa sukan lagi," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Vietnam di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Selain itu, Faizal berkata, sebanyak 72 pingat (25 emas, 18 perak dan 29 gangsa) daripada 27 jenis sukan dan 68 acara yang dimenangi di Sukan Sea Filipina tidak dapat di pertahankan kali ini kerana tidak dipertandingkan di Vietnam.

"Antara pingat yang hilang adalah dari sukan seperti skuasy (4 emas), lawn bowls (4 emas), skating (2 emas), gimrama (3 emas acara individu), break dance (1 emas) dan beberapa sukan lain.

"Selain itu sebanyak 22 jenis sukan (antaranya pelayaran, ekuestrian, hoki, ragbi, luncur air) yang biasa menyumbang pingat di beberapa temasya Sukan Sea lalu juga tidak di pertandingkan kali ini di Hanoi," katanya. Mengikut rekod, kontinjen Malaysia pada edisi terdahulu mengakhiri perjuangan di kedudukan kelima carta pungutan pingat dengan mengumpul 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 10:32 PM