AKSI pemain skuad ragbi B-19 negara ketika menentang Taiwan di Padang Astaka, Petaling Jaya. FOTO ihsan MR
AKSI pemain skuad ragbi B-19 negara ketika menentang Taiwan di Padang Astaka, Petaling Jaya. FOTO ihsan MR
Zulkarnain Azman


Petaling Jaya: Hasrat pasukan ragbi bawah-19 (B-19) untuk mencipta kemenangan pertama di Kejohanan Ragbi Asia B-19 tidak kesampaian apabila tewas 13-38 kepada Taiwan pada aksi kedua, hari ini.

Sebelum ini, pasukan kendalian Mohd Irwan Abdol itu tewas 9-43 kepada Hong Kong pada aksi pertama, Isnin lalu.

Pada perlawanan di Padang Astaka, Petaling Jaya, skuad Taiwan bermula garang pada separuh masa pertama apabila mendahului 23-0 selepas menyempurnakan tiga try, satu conversion dan dua penalti.

Bersambung babak kedua, Taiwan meningkatkan tempo permainan dan kesilapan skuad Bunga Raya memberi ruang kepada Taiwan melakukan try dan conversion, sekali gus skuad kendalian Chi-Hsiang Hung selesa dengan kedudukan 30-0.

Bagai jatuh ditimpa tangga, pemain Malaysia, Muhammad Aidil Syawal dilayangkan kad merah dan diarah keluar padang selepas mengutip dua kad kuning.

Kesempatan itu digunakan Taiwan untuk menyempurnakan sepakan penalti dan satu try, sekali gus menang 38-13.

Malaysia hanya meraih 13 mata hasil dua sepakan penalti dan satu conversion dilakukan Ahmad Alif Husaini serta satu try dilakukan Nolan Segaran.

Kekalahan itu menyaksikan peluang skuad negara untuk beraksi di Kejuaraan Trofi Ragbi Remaja Dunia di Kenya, tahun depan tertutup rapat.

"Saya berulang kali mengingatkan pemain untuk merebut peluang yang ada, tetapi kami perlu akur dengan kehebatan Taiwan.

"Pujian untuk pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi di separuh masa kedua walaupun ketinggalan.

"Saya mempunyai waktu singkat iaitu tiga minggu untuk menyediakan pasukan ini dan bersaing dengan dua pasukan terbaik dalam rantau ini.

"Jadi banyak halangan dan cabaran yang saya perlu atasi sepanjang pembentukan pasukan ini," jelas Irwan.

Pada masa sama, Irwan kesal dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah buat Aidil, namun yakin pemain itu tidak akan digantung oleh Kesatuan Ragbi Asia.

"Saya boleh terima apabila Aidil mengutip kad kuning pertama, tetapi tidak untuk kad kuning kedua kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan ketika melakukan tackle.

"Pengurus pasukan (Mohd Khairul Nizam) akan membuat surat aduan kepada Kesatuan Ragbi Asia tentang insiden ini.

"Kes Aidil pasti akan dibawa ke jawatankuasa disiplin Ragbi Asia, tetapi saya yakin tiada penggantungan akan dikenakan terhadap pemain itu," kata Irwan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 8:08 PM