SELEPAS berjaya menjadi tuan rumah Piala Dunia Qatar idam jadi tuan rumah Olimpik. FOTO Agensi
SELEPAS berjaya menjadi tuan rumah Piala Dunia Qatar idam jadi tuan rumah Olimpik. FOTO Agensi
Reuters

Doha: Qatar berazam untuk membawa Sukan Olimpik 2036 ke Doha, menurut sumber yang biasa dengan proses bidaan Olimpik.

Kejayaan penganjuran Piala Dunia bola sepak yang sedang berlangsung setakat ini memberi semangat kepada warga Qatar dan mengukuhkan azam mereka untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.

Tiada tempoh masa diumumkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengenai bila mereka merancang untuk memutuskan tuan rumah 2036.

Jika ia diputuskan untuk dianjurkan di Doha ini kali pertama temasya berkenaan dianjurkan oleh negara Islam.

Qatar gagal berada dalam senarai pendek untuk kedua-dua temasya pada 2016 dan 2020, sebahagiannya disebabkan kebimbangan terhadap suhu musim panas di negara padang pasir itu, dengan ia diputuskan dianjur di Rio de Janeiro dan Tokyo.

Dijangka Qatar akan mendesak untuk menganjurkan Sukan Olimpik pada akhir tahun seperti yang dilakukan pada Piala Dunia tahun ini dan negara teluk itu menggunakan sistem penghawa dingin yang canggih di stadium untuk mengurangkan haba ketika perlawanan bola sepak.

Doha pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Dunia pada 2019 di Stadium Antarabangsa Khalifa, dari hujung September hingga awal Oktober.

Qatar berasa dalam kedudukan yang sangat kukuh, satu sumber memberitahu Reuters.

"Kejayaan Piala Dunia setakat ini meletakkan Qatar pada kedudukan yang kukuh – mereka menunjukkan mereka boleh melakukan ini… ia adalah bukti konsep.

"Mereka menjadi tuan rumah Sukan Asia pada 2006; dan akan menjadi tuan rumah semula pada tahun 2030.

"Semua infrastruktur ada di sini - stadium, metro, lapangan terbang baharu," kata sumber berkenaan.

Jawatankuasa Olimpik Qatar tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 2:13 PM