PEMAIN Qatar gigih menjalani latihan di Doha semalam. FOTO AFP
PEMAIN Qatar gigih menjalani latihan di Doha semalam. FOTO AFP
AFP

Doha: Piala Asia bermula Jumaat ini dengan juara bertahan Qatar menjadi tuan rumah, Jepun muncul pasukan pilihan dan Korea Selatan yang diketuai bintang sensasi, Son Heung-min tekad meraih gelaran kali pertama dalam tempoh 64 tahun.

Sebanyak 24 pasukan termasuk Australia dan Palestin bertarung dalam tempoh empat minggu bagi memburu tempat ke final pada 10 Februari di Stadium Lusail yang berkapasiti 80,000 tempat duduk.

Ia memerlukan sesuatu yang istimewa untuk mengatasi kemeriahan kejohanan besar terakhir di Lusail -- Piala Dunia 13 bulan lalu apabila Argentina yang diinspirasikan oleh Lionel Messi menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti.

Edisi ke-18 Piala Asia sepatutnya berlangsung pada musim panas lalu di China tetapi dipindahkan ke Qatar susulan peraturan Covid-19.

Qatar akan menggunakan hampir kesemua stadium yang menjadi venue Piala Dunia kecuali Stadium 974 yang dibina menggunakan kontena kapal.

Tuan rumah mendapat pujian susulan penganjuran Piala Dunia yang berjalan lancar tetapi mereka mengalami tiga kekalahan di peringkat kumpulan sekali gus prestasi terburuk oleh mana-mana pasukan tuan rumah Piala Dunia.

Kekecewaan itu sudah pasti ditebus dengan berusaha mempertahankan trofi Piala Asia tetapi jurulatih Carlos Queiroz dipecat hanya bulan lalu yang menyukarkan penggantinya Tintin Marquez membuat persiapan.

Qatar membuka tirai perlawanan dengan menentang Lubnan di Stadium Lusail. Terdapat enam kumpulan mengandungi empat pasukan dengan dua pasukan terbaik mara ke peringkat 16 terakhir termasuk empat pasukan tempat ketiga terbaik.

Jepun yang ditewaskan Qatar 3-1 pada final 2019 pastinya menjadi pasukan yang mahu ditewaskan dan mereka pasukan paling berjaya di Piala Asia dengan empat gelaran.

Jepun mempunyai memori indah di Qatar selepas mengejutkan Jerman dan Sepanyol dalam peringkat kumpulan Piala Dunia sebelum disingkirkan Croatia menerusi penalti pada peringkat 16 terakhir.

Skuad Hajime Moriyasu tampil lebih kuat selepas itu apabila hanya tewas sekali dalam 12 perlawanan dan membelasah Jerman 4-1 dalam aksi persahabatan.

Korea Selatan, Iran, Australia dan Arab Saudi yang turut beraksi di Piala Dunia 2022 dan kesemuanya bekas juara Piala Asia yang juga dianggap pasukan pilihan sekali gus boleh menghampakan hasrat Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 3:04 PM