AZIZUL mengungguli acara keirin Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II
AZIZUL mengungguli acara keirin Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: 'Berpantang maut sebelum ajal' Itu prinsip hidup yang dipegang jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang mengakui ia menaikkan semangat buat dirinya setiap kali turun bertanding.

Menurut Azizulhasni yang mesra disapa 'Jijoe' disebabkan kata keramat itu, beliau mampu untuk memenangi tiga pingat emas di bumi Hong Kong baru-baru walaupun mengakui dirinya penat disebabkan jadual pertandingan yang singkat.

"Alhamdulillah, syukur hari ini (semalam) sekali lagi saya diberikan kekuatan oleh Allah untuk beraksi dengan cemerlang bagi memenangi pingat emas dalam acara keirin lelaki.

"Walaupun tersangat penat kerana perlumbaan semalam tetapi saya masih kuatkan semangat kerana prinsip hidup saya adalah berpantang ajal sebelum mati," katanya yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman.

Terdahulu, dalam aksi final keirin Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II yang berlangsung di Velodrom Hong Kong pada Sabtu, Azizulhasni melakukan kayuhan bertenaga bagi mengenepikan cabaran pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov dan seorang lagi pelumba negara dari pasukan TeamAzizul, Mohd Akmal Nazimi Jusena.

Keputusan yang dilakar atlet berusia 35 tahun itu pastinya menjadi pembakar semangat buat dirinya dalam usaha untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan.

Dalam pada itu, Azizulhasni juga menitipkan ucapan tahniah kepada Akmal Nazimi yang meraih gangsa selain bersimpati dengan nasib seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terjatuh pada aksi final tersebut.

"Tahniah kepada pelumba muda negara yang mewakili TeamAzizul, iaitu Akmal Nazimi yang mendapat pingat gangsa, sedikit sahaja di belakang pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 2:53 PM