Fadhil Zonis meraih emas acara keirin. FOTO AFP
Fadhil Zonis meraih emas acara keirin. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Welcome to the club Fadhil". Itu ucapan tahniah yang disampaikan pelumba pecut nombor satu dunia, Azizulhasni Awang kepada rakan sepasukannya, Fadhil Zonis yang memenangi pingat emas dalam acara keirin Kejohanan Piala Negara-Negara di Hong Kong, sebentar tadi.

Ucapan itu ditulis oleh Azizulhasni atau turut dikenali dengan panggilan 'The Pocket Rocketman' di laman sosial miliknya.

Menurut Azizulhasni berkata, kejayaan Fadhil meletakkan dirinya adalah pelumba ketiga negara yang pernah memenangi acara berkenaan di pentas antarabangsa.

Katanya, selain dia dan Fadhil, seorang lagi pelumba yang pernah memenangi pingat di peringkat Piala Dunia atau Piala Negara-Negara adalah Rizal Tisin.

"Tahniah buat Fadhil Zonis atas kemenangan emas dalam acara keirin.

"Kemenangan ini menjadikan Fadhil pelumba Malaysia ketiga yang pernah memenangi pingat di peringkat Piala Dunia atau Piala Negara-Negara selepas saya dan Rizal Tisin. Welcome to the club Fadhil," katanya.

Ucapan tahniah daripada Azizulhasni
Ucapan tahniah daripada Azizulhasni

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan syabas kepada pelumba trek wanita negara, Anis Rosidi yang meraih gangsa dalam acara 500m ujian masa hari ini.

"Tahniah juga buat Anis Rosidi yang memenangi pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa awal siang tadi.

"Kedua-dua pelumba ini memang sangat berpotensi untuk pergi lebih jauh dan mereka berdua mempunyai disiplin yang tinggi, mendedikasikan diri mereka sepenuhnya kepada karier sukan dan sentiasa terbuka menerima nasihat.

"Di harap Fadhil dan Anis dapat menempa lebih banyak kejayaan di masa hadapan. Syabas!".

Dalam acara final keirin itu, Fadhil, 24, berjaya mengatasi dua pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dan Yudai Nitta.

Kejayaan gemilang Fadhil itu cukup bermakna selepas semalam dia turut menaiki podium apabila meraih perak dalam acara 1km ujian masa individu lelaki selepas mencatatkan masa satu minit 1.772 saat.

Fadhil pemegang rekod kebangsaan dan rekod Asia dalam acara 1km ujian masa dengan catatan 1:00.305s pada Kejohanan Dunia di Berlin tahun lalu, akan bersaing dalam acara pecut esok.

Selain Fadhil, dua lagi wakil negara yang akan bertanding dalam acara pecut esok adalah Ridwan dan Amar Danial Masri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 11:19 PM