FAKHRULLAH berjaya meraih sembilan emas dalam acara kanu, manakala Rouxin menggondol enam emas dalam sukan renang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
FAKHRULLAH berjaya meraih sembilan emas dalam acara kanu, manakala Rouxin menggondol enam emas dalam sukan renang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Affan Rostam


Bangi: Bagaikan mimpi jadi realiti. Itu ungkapan sesuai buat atlet kanu Johor, Muhammad Fakhrullah Rumaize apabila cita-citanya untuk bergelar atlet lelaki terbaik dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 tercapai.

Fakhrullah membuktikan kemampuan sebenarnya ketika saingan di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya sebelum ini untuk meraih sebanyak sembilan pingat emas dengan dua rekod kebangsaan berjaya dicatat.

Emas diraih atlet berusia 21 tahun itu adalah menerusi acara K2 500m (rekod kebangsaan), K2 1,000m (rekod kebangsaan), K1 200m, K2 200m, TBR 1,000m, TBR 500m, TBR 500m campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.

Penyampaian trofi atlet terbaik lelaki disempurnakan disempurnakan oleh legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang diterbangkan khas dari Melbourne, Australia.

"Selama saya berlatih memang tak ada terfikir untuk dapat anugerah ini. Saya hanya fokus untuk berikan yang terbaik saja dan inilah hasil usaha saya selama tujuh ke lapan tahun. Alhamdulillah saya berjaya dapatkan sembilan pingat emas untuk Johor," kata Fakhrullah.

Sementara itu, gelaran atlet wanita terbaik turut hadir menerusi kontinjen Johor selepas perenang mudanya, Tan Rouxin membolot enam pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Lebih manis, kejayaan atlet berusia 16 tahun kelahiran Johor Bahru itu hadir pada penampilan pertamanya dalam temasya Sukma.

Sukan renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebelum ini menyaksikan Rouxin memenangi emas bagi acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 100m kuak lentang, 200m kuak lentang dan 200m rampaian individu manakala, pingat perak diraih menerusi acara 50m kuak dada dan memenangi pingat gangsa bagi acara 4X100 rampaian.

"Ini suatu perkara di luar jangkaan disebabkan saya tak pernah terfikir pun untuk anugerah. Lagipun ini juga adalah penampilan pertama saya dalam Sukma. Sasaran saya cuma mahu pecahkan rekod peribadi tapi dapat lebih lagi daripada itu. Sangat tak percaya tapi saya gembira," kata Rouxin.

Penyampaian trofi bagi atlet terbaik wanita pula disempurnakan oleh legenda skuasy negara, Datuk Nicol David.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut hadir memeriahkan majlis penutup hari ini dengan menyampaikan trofi juara keseluruhan buat kontinjen Johor selepas muncul juara Sukma 2022 dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 10:41 PM