CHONG Wei akui semua adalah wira negara. FOTO Ihsan Facebook Lee Chong Wei
CHONG Wei akui semua adalah wira negara. FOTO Ihsan Facebook Lee Chong Wei
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei meluahkan rasa bangga di atas kejayaan skuad badminton negara yang meraih pingat emas acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, awal pagi tadi.

Menurut Chong Wei, dia mahu kontinjen negara untuk meneruskan momentum yang sama bagi acara perseorangan selain berhasrat lagu Negaraku akan terus berkumandang di bumi England.

"Impian kilauan pingat emas yang diburu-buru kontinjen badminton negara akhirnya dicapai awal pagi ini. Tahniah anda semua, anda semua wira-wira negara.

"Teruskan semangat ini untuk acara perseorangan. Nak dengar lagu Negaraku lagi berkumandang di tanah England itu.

"Tahniah Malaysia! Anda semua buatkan kami rasa bangga," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu juga turut mengucapkan tahniah kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia awal pagi semalam.

"Tahniah juga Muhammad Azeem Fahmi memecahkan rekod 100m dengan catatan 10.09s. Laju gila bro," katanya.

Skuad badminton negara berjaya menewaskan India 3-1 dalam aksi final Sukan Komanwel Birmingham 2022, sekali gus menghadiahkan emas ketiga buat negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 1:00 PM