Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor, Datuk Pandak Ahmad (lima dari kiri) menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor 2023 di Lapang Sasar Memanah, Taman Mutiara Rini di sini, semalam. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor, Datuk Pandak Ahmad (lima dari kiri) menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor 2023 di Lapang Sasar Memanah, Taman Mutiara Rini di sini, semalam. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Pemanah dari Johor mengungguli Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor 2023 yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu di Lapang Sasar Memanah, Taman Mutiara Rini di sini.

Dalam perlawanan akhir semalam, pemanah tuan rumah memenangi tiga pingat emas daripada 10 kategori yang dipertandingkan iaitu Recurve dan Compound berpasukan wanita serta Compound campuran.

Pemanah Johor turut memenangi satu pingat perak bagi Recurve individu wanita, dua pingat gangsa bagi Recurve campuran dan Recurve individu wanita selain empat pingat bagi tempat keempat.

Di tangga kedua adalah Selangor yang memenangi tiga pingat emas, satu pingat perak, dua pingat gangsa dan tiga pingat tempat keempat.

Ia diikuti pemanah dari Pulau Pinang yang memperoleh satu pingat emas dan tiga perak.

Pemenang tempat pertama kedua dan ketiga bagi kategori individu membawa pulang wang tunai RM1,000, RM700 dan RM300 selain pingat serta sijil penyertaan.

Manakala, bagi kategori berkumpulan, pemenang membawa pulang pingat dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor, Datuk Pandak Ahmad.

Pandak berkata, seramai 341 peserta tempatan termasuk 20 peserta dari Singapura dan Indonesia menyertai kejohanan kali kelima yang berlangsung selama lima hari dan berakhir semalam (Ahad).

Beliau berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu diharap dapat menjadi landasan bagi mengasah bakat baharu dalam sukan memanah termasuk mencari pelapis bagi setiap negeri untuk kejohanan yang lebih besar antaranya seperti Sukan Malaysia (Sukma).

"Kita lihat ramai keluarga peserta datang bersama untuk meraikan dan melihat peserta yang terbabit dalam kejohanan ini.

"Ini satu prospek yang amat baik bagi sukan memanah dan kami sedang menyediakan pasukan untuk Sukma pada 2024 di Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 12:27 PM