ANIQ  (kanan),  Aznil (kiri) dan Bonnie Bunyau Gustin bergambar bersama pingat emas  dimenangi di  KLIA.
ANIQ (kanan), Aznil (kiri) dan Bonnie Bunyau Gustin bergambar bersama pingat emas dimenangi di KLIA.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak pernah lupa keringat dicurahkan atlet angkat berat yang memenangi pingat di Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini dan akan memberikan insentif kepada mereka dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, jumlah yang akan diberikan kepada atlet tidaklah lumayan, namun ada sebagai tanda penghargaan kepada atlet terbabit yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, walaupun bayaran 'bonus' itu tidak lumayan seperti persatuan lain namun PABM sebenarnya sudah banyak berkorban membabitkan wang ringgit bagi memastikan atlet angkat berat seperti Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin mampu bersaing di pentas tertinggi.

"Ada pemberian bonus kepada atlet angkat berat yang berjaya meraih emas di Komanwel Birmingham namun tidaklah banyak.

"Saya bukannya, tidak mahu ulas lanjut mengenai pemberian bonus cuma sebenarnya jika bercakap mengenai insentif PABM sudah berikan sejak mereka berusia belasan tahun.

"Malah, Persatuan Angkat Berat Johor dan Majlis Sukan Negara(MSN) juga banyak membantu atlet berkenaan hingga mereka berjaya meraih emas di Sukan Komanwel baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Aznil dan Aniq mengharumkan nama negara di pentas Komanwel baru-baru ini apabila mencipta kejutan dengan memenangi emas dalam acara angkat berat.

Malah, rekod baharu dicatatkan Aniq ketika memenangi emas kategori 55 kilogram (kg) dengan mengumpulkan angkatan 285kg menerusi acara snatch dan clean & jerk pada saingan yang diadakan di National Exhibition Center (NEC), Birmingham.

Aznil pula merakamkan rekod baharu temasya bagi acara 61kg menerusi himpunan angkatan 285kg menerusi acara snatch dan clean & jerk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 5:38 PM