AHMAD Shapawi berkata beberapa sukan pilihan lain boleh dicadangkan oleh negeri tuan rumah dan mesti dipersetujui majoriti negeri. FOTO AIZUDDIN SAAD
AHMAD Shapawi berkata beberapa sukan pilihan lain boleh dicadangkan oleh negeri tuan rumah dan mesti dipersetujui majoriti negeri. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan bahawa memiliki kuasa untuk bertindak menggugurkan sesuatu jenis sukan daripada temasya Sukan Malaysia (Sukma) seperti yang dicetuskan oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan dan dianggotai oleh Pengerusi Majlis-Majlis Sukan Negeri termasuk Sarawak sudah pun menetapkan 16 jenis sukan teras untuk dipertandingkan di setiap temasya Sukma.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun dalam satu kenyataan berkata beberapa sukan pilihan lain boleh dicadangkan oleh negeri tuan rumah dan mesti dipersetujui majoriti negeri untuk dipertandingkan di Sukma dan inilah amalan yang dipraktikkan sejak sekian lama.

Malah beliau berkata, Jawatankuasa Tertinggi Sukma turut dianggotai beberapa pemegang taruh sukan yang lain seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta Institut Sukan Negara (ISN) bertindak sebagai sebuah entiti bebas bagi menetapkan perkara dasar dan peraturan Sukma melalui Peraturan Tetap dan Peraturan Am Sukan Malaysia.

"MSN diberi mandat oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada mesyuarat bertarikh 28 Oktober 2021 untuk mengambil alih tanggungjawab selaku tuan rumah Sukma 2022 selepas Johor memulangkan semula hak penganjuran ekoran dari impak pasca Covid-19, sebaliknya Johor menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah pada 2024.

"Pada mesyuarat yang berlangsung 21 Mac 2022 Jawatankuasa Tertinggi bersetuju kesemua 16 sukan teras dan 15 sukan pilihan yang ditawarkan di Sukan Johor 2022 terus dipertandingkan bagi meneruskan kesinambungan persediaan atlet negeri yang telah berlatih sejak tahun 2018 yang lalu.

"Malangnya, sukan taekwondo yang menjadi salah satu kategori sukan pilihan tidak dipilih oleh tuan rumah Johor sejak awal lagi dan turut dipersetujui oleh majoriti negeri," katanya.

Sukan taekwondo, digugurkan daripada senarai sukan teras MSN oleh Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 11 Disember 2017 ekoran permasalahan wujudnya beberapa badan induk yang mengawal sukan berkenaan selain dari halangan dan kesukaran menyatukan penggiat sukan itu dalam satu badan naungan yang bersatu padu.

Status taekwondo sebagai sukan teras akan hanya dibincangkan selepas kemelut badan induk sukan berkenaan diselesaikan.

Seperti semua sedia maklum, objektif utama penganjuran Sukma ialah untuk menggalakkan penyertaan seramai mungkin atlet muda berbakat yang boleh diketengahkan untuk memikul cabaran negara di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 8:09 PM