PETINJU Britain, Anthony Joshua pada sidang media menjelang pertarungan semula dengan petinju Ukraine, Oleksandr Usyk, Sabtu ini. FOTO AFP
PETINJU Britain, Anthony Joshua pada sidang media menjelang pertarungan semula dengan petinju Ukraine, Oleksandr Usyk, Sabtu ini. FOTO AFP
AFP

Jeddah: Petinju heavyweight, Anthony Joshua menyifatkan spekulasi dia akan bersara sekiranya tewas sekali lagi kepada Oleksandr Usyk pada pertarungan minggu ini, sebagai mengarut.

Petinju Britain, Joshua, 32, dalam usaha merampas semula gelaran dunia selepas tewas kepada petinju Ukraine, Usyk, menerusi keputusan sebulat suara di London, September lalu.

Pakar mengandaikan kekalahan profesional ketiga akan menamatkan karier bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik itu, tetapi dakwaan itu disangkal Joshua.

"Saya bertarung dengan petinju yang dianggap antara paling memiliki skil tinggi dalam semua kategori berat," katanya kepada AFP menjelang pertarungan di Jeddah, Arab Saudi, Sabtu ini.

"Saya tidak akan kalah dengan petinju biasa. Memang gila apabila menjangka saya akan bersara.

"Jika saya kalah kepada salah seorang pejuang terhebat di dunia ketika ini (orang akan berkata) 'Oh, dia patut bersara, dia kalah kepada salah seorang yang terbaik. Mengarut jenis apa ni?"

Joshua kekal sebagai antara nama hebat dalam sukan itu, tetapi dia tewas mengejut kepada Andy Ruiz Jr pada 2019, sebelum tewas kepada Usyk, tahun lalu.

Bagaimanapun, dia berjaya menewaskan semula Ruiz di Arab Saudi dan berharap dapat mengulangi perkara sama pada pertarungan Sabtu ini - 'Rage on the Red Sea' di Jeddah.

"Jika orang ramai mahu saya pergi, baiklah. Saya tidak akan merayu kepada sesiapa," kata Joshua.

"Orang ramai selalu bertanya soalan dan mereka layak bertanyakannya. Bagi saya secara peribadi, saya akan terus berlawan. Saya cintakannya. Memang mencabar, tetapi saya sukakan cabaran."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 9:55 AM