Joshua (kiri) dan Usyk bertarung di Stadium Tottenham Hotspur September ini. FOTO Agensi
Joshua (kiri) dan Usyk bertarung di Stadium Tottenham Hotspur September ini. FOTO Agensi
AFP

London: Petinju Britain, Anthony Joshua akan mempertahankan kejuaraan heavyweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) dan Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) berdepan Oleksandr Usyk di Stadium Tottenham Hotspur dekat London pada 25 September ini.

Joshua sepatutnya berdepan musuh senegaranya, Tyson Fury dalam pertarungan yang ditetapkan di Arab Saudi pada Ogos namun ia dibatalkan apabila syarat timbang tara Amerika Syarikat menetapkan juara Majlis Tinju Dunia (WBC) Fury perlu mempertahankan gelaran dengan menentang Deontay Wilder terlebih dahulu sebelum berdepan Joshua.

Pertarungan bersejarah antara Fury dan Wilder itu dijadualkan berlangsung hujung minggu ini tetapi terpaksa ditangguhkan ke 9 Oktober di Las Vegas selepas Fury diuji positif Covid-19.

Pada masa sama, Joshua akan memenuhi syarat mempertahankan kejuaraan WBO di London, yang menjadi pentas pertarungan tinju pertamanya di gelanggang baru kelab bola sepak Tottenham Hotspur.

Kemenangan dapat menyuntik semangat dalam 'pertarungan super' berdepan Fury, menyaksikan seterunya berdepan petinju Amerika, Wilder dalam pertemuan ketiga mereka selepas seri pada Disember 2018 diikuti KO di pusingan ketujuh pada Februari 2020 memihak petinju Britain itu.

Dengan pertarungan berdepan Usyk dari Ukraine dan bekas juara cruiserweight, Joshua akan berdepan rakan yang sama-sama memenangi pingat emas di London 2012.

Joshua muncul juara Olimpik dalam kategori super-heavyweight di temasya itu, dengan Usyk menduduki podium dalam kategori heavyweight.

"Tarikh sudah ditetapkan dan kami memberi tumpuan penuh kepada pertarungan ini," kata Joshua dalam kenyataan yang dikeluarkan Matchroom Sport.

"Saya meletakkan segala-galanya sekali lagi dan ia adalah peluang untuk mempertahankan kejuaraan. Kami pemenang pingat emas Olimpik yang bertarung hingga ke puncak dan tidak pernah mengelak daripada cabaran."

Usyk memenangi semua 18 pertarungan tetapi hanya dua daripada pertembungan berada dalam kategori heavyweight.

"Pertarungan itu akan dikuasai oleh individu yang sentiasa berjalan," kata Usyk yang berusia 34 tahun iaitu tiga tahun lebih tua daripada Joshua.

Petinju British itu tewas hanya sekali dalam 25 pertarungan, berdepan Kubrat Pulev pada Jun tahun lalu tetapi kekangan pandemik Covid-19 menyaksikan pertarungan berpindah ke Arena Wembley pada Disember tahun lalu yang menyaksikan Joshua mencatat kemenangan KO pada pusingan kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 8:39 AM