PERLAWANAN antara Usyk (kiri) dan Joshua, Ahad lalu. FOTO AFP
PERLAWANAN antara Usyk (kiri) dan Joshua, Ahad lalu. FOTO AFP
AFP

Kiev: Perlawanan semula antara Oleksandr Usyk dan Anthony Joshua dijangka berlangsung pada Februari atau Mac tahun depan, kata promoter juara Ukraine itu semalam, beberapa hari selepas Joshua tewas gelaran heavyweight dunia kepada Usyk.

Usyk memenangi pertemuan itu menerusi kiraan mata sekali gus melucutkan Joshua daripada gelaran tali pinggang Persatuan Tinju Dunia, Persekutuan Tinju Antarabangsa dan Organisasi Tinju Dunia di depan penyokong sendiri di London, Ahad lalu.

Joshua kemudian pantas mahu bertemu Usyk sekali lagi apabila pada sidang media menyatakan bahawa dia 110 peratus mahu perlawanan ulangan semula.

"Masa yang diumumkan oleh Eddie Hearn pada sidang media selepas perlawanan itu, iaitu Februari-Mac adalah benar," kata promoter Usyk, Oleksandr Krasyuk pada sidang media bersama petinju itu di Kiev.

"Sepanjang tempoh ini, perlawanan semula harus berlangsung," kata Krasyuk.

Promoter Joshua, Hearn pada sidang media selepas tamat perlawanan di London mencadangkan perlawanan semula seharusnya berlangsung di Britain.

Kenyataannya itu selepas Usyk yang meraih banyak kemenangan di luar Ukraine berkata, dia berminat jika perlawanan ulangan itu berlangsung di Stadium Olympiyskiy dekat Kiev.

Kemenangan yang diraih Usyk itu melebarkan rekod tanpa kalah kepada 19 perlawanan dan menghancurkan impian untuk menyaksikan prospek pertarungan antara dua petinju Britain, Joshua dan Tyson Fury.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 9:52 AM