KABILAN Jelevan (kanan sekali) bersama barisan atlet muay Thai negara yang beraksi di AUG 2022.
KABILAN Jelevan (kanan sekali) bersama barisan atlet muay Thai negara yang beraksi di AUG 2022.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Atlet muay Thai negara, Kabilan Jelevan Thiagarajan bersedia mengakhiri penguasaan atlet Thailand dalam acara itu di final, Khamis ini.

Walaupun tuan rumah mendapat suntikan tonik daripada puluhan penyokong sendiri, Kabilan yang akan beraksi di pentas final kategori 60 kilogram (kg) tidak mahu melihat situasi itu masalah besar kepadanya dalam usaha merebut pingat emas buat negara.

"Melihat kepada kekuatan lawan, saya menjangkakan perlawanan sengit dengan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri untuk memenangi perlawanan.

"Saya akan perbaiki kualiti dan teknik termasuk berbincang bersama jurulatih bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

"Sekarang ini, saya tidaklah berada dalam situasi tekanan walaupun lawan bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri kerana perkara utama adalah fokus mengutip mata pada perlawanan itu," kata pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat.

Pada edisi 2018 di Myanmar, acara muay Thai tidak dipertandingkan sebelum dimasukkan semula pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 kali ini.

Pada edisi kali ini, kontinjen negara mensasarkan satu perak dan tiga gangsa dalam sukan muay Thai berdasarkan kepada prestasi terkini atlet negara.

Selain itu, Kabilan berkata, dia optimis mampu melakukan kejutan di final dengan berusaha membawa pulang pingat emas pertama untuk negara dalam acara muay Thai.

"Ramai yang kata sukar untuk tundukkan tuan rumah kerana sukan ini dikuasai mereka, namun bagi saya apa pun boleh berlaku pada hari pertandingan nanti.

"Saya berhasrat mencipta kejutan di Gimnasium Kampus Utama Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 5:18 PM