IMAN Aisyah tewaskan jaguh Indonesia untuk mara ke final Ahad ni.
IMAN Aisyah tewaskan jaguh Indonesia untuk mara ke final Ahad ni.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Pemanah negara Mohd Syafiq Md Ariffin dan Iman Aisyah Norazam hanya tinggal selangkah untuk menggenggam pingat emas apabila berjaya menempah tiket final acara compound individu lelaki dan wanita Ahad ini di temasya Sukan Universiti Asean (AUG)2022, sebentar tadi.

Pada aksi berlangsung di Stadium Utama PAO, Mohd Syafiq mara selepas menewaskan rakan senegara Eugenius Loh Foh Soon 146-145 di peringkat separuh akhir.

Menanti Syafiq di pusingan akhir ialah wakil Indonesia, Hendika Pratama Putra yang mara selepas menewaskan M Khambeswaran 149-142.

Dalam acara compound wanita akhir pula, Iman Aisyah mara selepas menewaskan Indonesia Syahara Khoerunisa, 142-140 untuk menempah pertemuan dengan wakil tuan rumah Bunyapalin Nichapat. Bunyapalin mara selepas menewaskan atlet Myanmar, Hlang Su Su 145-140.

"Peluang untuk Malaysia raih emas adalah 50-50 pada perlawanan akhir nanti kerana lawan kedua-kedua mereka itu kuat. Jadi saya harap kondisi mereka di perlawanan akhir nanti berada di tahap terbaik dan kalau boleh kena kurangkan kesilapan jika mahu mencerahkan peluang raih pingat emas," kata pengurus pasukan Suhardi Abdullah.

Bagi pingat gangsa acara compound lelaki, dimenangi Malaysia menerusi Eugenius selepas menewaskan Khambeswaran 144-143 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 3:46 PM