Kampala: Pelari Uganda bimbang dengan tahap kesihatan mereka selepas seorang jurulatih yang didakwa melakukan seks dengan atlet muda dijangkiti virus HIV.

Ada kebimbangan virus itu, yang boleh menjurus kepada AIDS merebak kerana seks rambang dalam kalangan atlet dan seorang atlet ternama negara timur Afrika itu meminta ujian menyeluruh diadakan.

“Ramai rakan kami mungkin dijangkiti,” kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Moses Kipsiro.

Uganda, kuasa membangun olahraga yang cuba mengatasi pencabar tradisi sebenua Kenya dan Habsyah, dilanda dakwaan gangguan seks hampir setahun lalu.

Ia diketahui selepas Kipsiro, 28, mendedahkan rungutan rakan sepasukan wanitanya terhadap jurulatih kebangsaan Peter Wemali yang didakwa memberitahu beberapa pelari wanita supaya melakukan seks dengannya dalam usaha meningkatkan prestasi.

Wemali sejak itu dituduh melakukan gangguan seks dan minggu lalu media Uganda menyatakan dokumen mahkamah mendedahkan beliau juga positif HIV. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:27 AM