NICK Kyrgios (kanan) dan Novak Djokovic bergambar kenangan sebelum final Wimbledon. FOTO EPA
NICK Kyrgios (kanan) dan Novak Djokovic bergambar kenangan sebelum final Wimbledon. FOTO EPA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun tewas kepada pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic pada final Wimbledon, Ahad lalu, ibu kepada tenis sensasi Australia, Nick Kyrgios yang dikenali sebagai Norlaila tetap bangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.

Norlaila, wanita kelahiran Malaysia yang lebih mesra dikenali sebagai Nill berkata, Kyrgios sudah melakukan yang terbaik, namun terpaksa akur dengan kehebatan Djokovic yang menewaskan anaknya itu 4-6, 6-3, 6-4 dan 7-6 (7/3).

Kemenangan itu membolehkan Djokovic merangkul kejuaraan ketujuh Wimbledon, sekali gus menyamai rekod Pete Sampras di Kelab Seluruh England dan ketinggalan satu rekod di belakang Roger Federer yang memenangi lapan kejuaraan.

"Terima kasih banyak atas kata-kata dan mesej sokongan untuk keluarga kami terutama kepada Nick. Kami sangat menghargainya.

"Nick sudah melakukannya dengan sangat baik dan saya sangat bangga dengannya. Tidak sabar untuk memeluknya dengan erat," katanya di Instagram (IG)) miliknya.

Selain Nick, Norlaila mempunyai dua lagi anak iaitu Christos dan Halimah hasil perkahwinannya dengan suaminya, George Kyrgios.

Halimah, anak kedua Norlaila yang menyaksikan perlawanan final adiknya itu di tepi gelanggang turut berbangga dengan pencapaian Nick.

"Anda sering memberikan inspirasi dan sentiasa menjadi juara kecil kami," katanya di IG.

Kejayaan beraksi di final Wimbledon buat kali pertama adalah pencapaian tertinggi dalam karier Nick yang juga pernah memenangi enam kejuaraan Jelajah ATP.

Norlaila yang berasal dari Gombak, Selangor, adalah tulang belakang utama di sebalik kejayaan Nick dan sering menyaksikan perlawanan membabitkan anaknya itu di tempat duduk penonton.

Bagaimanapun untuk aksi final bertemu Djokovic, Norlaila tidak dapat memberi sokongan di tepi gelanggang kerana mengalami masalah kesihatan dan hanya menyaksikannya di kediamannya dekat Canberra.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 5:32 PM