PANDELELA Rinong. FOTO Agensi
PANDELELA Rinong. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seramai 10 atlet terjun negara akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Terjun Dunia Fina di Budapest, Hungary yang mana sasaran pastinya diletakkan dibahu penerjun senior berpengalaman negara, Datuk Pandelela Rinong dari 26 hingga 30 Jun ini.

Pandelela akan turun beraksi esok dalam pusingan kelayakan 10m platform dengan sasaran yang diletakkan adalah untuk menilai tahap prestasi terkininya sebelum ke temasya Sukan Komanwel di Birmingham 28 Julai ini.

Bagi pengurus pasukan negara, Datuk Leong Mun Yee, atlet kini sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik biarpun ada di antara mereka yang masih bergelut dengan keletihan akibat penerbangan yang panjang.

Namun keadaan itu sudah semakin baik dengan kesemua atlet kini sudah bersedia untuk turun memberikan cabaran.

"Sasaran utama kali ini adalah lebih kepada persediaan dan bersedia untuk menghadapi Sukan Komanwel bulan depan.

"Ini kerana hampir setahun atlet terjun negara tidak menyertai sebarang pertandingan antarabangsa dan Kejohanan Dunia ini adalah medan terbaik buat mereka menilai tahap prestasi terkini masing-masing," katanya.

Mun Yee berkata, beberapa pendekatan baru akan dilakukan kali ini di Budapest iaitu dengan menyenaraikan gandingan baru selain menurunkan atlet remaja.

Untuk rekod skuad terjun negara pernah meraih kejayaan gemilang menerusi Cheong Jun Hoong yang berjaya meraih pingat emas dalam acara terjun 10m platform individu wanita di venue yang sama pada 2017.

Ia adalah kejayaan pertama penerjun meruntuhkan keegoan penerjun dari tembok besar China.

Jun Hoong dan Pandelela seterusnya menghadiahkan gangsa acara terjun 10 meter platform seirama.

Persaraan Jun Hoong kali ini menyaksikan Pandelela yang meraih perak di Sukan Olimpik Rio akan digandingkan bersama Nur Dahbitah Sabri dalam acara 10m terjun seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 4:52 PM