MARKIMAN (kanan) melihat situasi berkenaan yang agak memalukan sukan sepak takraw negara. FOTO NSTP
MARKIMAN (kanan) melihat situasi berkenaan yang agak memalukan sukan sepak takraw negara. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Agak mengejutkan sepanjang 60 tahun sepak takraw berkembang di negara ini, sukan terbabit sebenarnya, masih lagi tidak mempunyai pusat latihan dan gelanggang sendiri hingga terpaksa menumpang atau menyewa venue pihak lain.

Situasi terbabit didedahkan wakil 12 ahli gabungan (G12) Datuk Markiman Kobiran selepas melakukan siasatan dan penelitian terhadap Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sekali gus menjadi antara punca perkembangan dan kemajuan sukan tradisi berkenaan agak terbantut hingga gagal mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Markiman yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) berkata, melihat situasi berkenaan yang agak memalukan sukan sepak takraw negara menyebabkan pihaknya meletakkan perkara terbabit sebagai agenda yang perlu dilakukan selepas PSM kelak.

Katanya, walaupun pembinaan pusat latihan dan gelanggang sepak takraw masih lagi dalam peringkat perancangan namun G12 mahu ia direalisasikan dalam usaha memastikan sukan tradisi itu terus dipandang tinggi.

"Agak mengejutkan apabila perbincangan bersama PSM mendapati sebenarnya mereka tidak mempunyai pusat latihan dan gelanggang sendiri sejak 60 tahun lalu.

"Perkara terbabit menyedihkan kerana jika mahu melahirkan pemain akar umbi perlulah ada kemudahan lengkap milik sendiri seperti gelanggang, asrama, dewan dan pusat rawatan untuk mereka.

"Selama ini, jika ada pertandingan atau kejohanan peringkat antarabangsa, pemain negara hanya menumpang kemudahan orang lain saja atau pun menyewa sekali gus melihatnya sebagai pembaziran," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan berkaitan penambahbaikan terhadap PSM, Markiman berkata, pihaknya sudah melakukan perbincangan bersama kepimpinan badan induk sepak takraw negara itu dan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

"Sekarang ini, kami melihat ada banyak perkara perlu diubah terutama membabitkan perlembagaan demi memastikan tiada lagi masalah atau perkara berbangkit hingga menyebabkan kepincangan pada masa akan datang.

"Selain itu, perlembagaan berkaitan pemilihan kepimpinan PSM juga akan diubah bagi memastikan undian nanti tidak dimanipulasi pihak tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:23 PM