KONTINJEN olahraga berjaya capai sasaran lima emas di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO Hairul Anuar Rahim
KONTINJEN olahraga berjaya capai sasaran lima emas di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Walaupun berjaya menepati sasaran lima emas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu mengakui sedikit terkilan selepas beberapa lagi emas 'bonus' tidak dapat diraih di Sukan Sea Vietnam Hanoi.

Menurutnya, daripada pemerhatiannya di Stadium Nasional My Dinh semua atlet sudah mempamerkan aksi terbaik termasuk beberapa tonggak muda namun peluang untuk mengatasi sasaran yang ditetapkan tidak digapai walaupun terhidang di depan mata.

"Semua (atlet) mempamerkan persembahan yang baik tidak ada sebarang masalah. Bagaimanapun, ada beberapa acara yang kita harapkan emas seperti lompat tinggi lelaki (Nauraj Singh) sekadar meraih perak walaupun ada harapan untuk emas," katanya hari ini.

Ujarnya, mereka tidak boleh berbuat apa-apa dengan situasi seperti itu kerana ada acara yang diharapkan dapat emas tidak dicapai, malah yang tidak diletakkan sebarang harapan seperti lompat bergalah wanita (Nor Sarah Adi) pula melakukan kejutan.

"Kita boleh dapat sekurang-kurangnya tujuh emas namun ada juga atlet yang tidak dapat turun beraksi seperti K Prabudass kerana mengalami kesakitan (kurang air dalam badan).

"Kalau tidak dia yang sertai acara 5,000 meter (m) dan 1,500m mesti sekurang-kurangnya mampu meraih satu emas berdasarkan catatan masa terbaiknya sebelum ini.

"Catatan masa terbaiknya lebih baik daripada atlet yang menang emas di sini tapi doktor tidak benarkan dia beraksi serta terpaksa berehat selama sehari di wad," katanya.

Apa pun Muthu tetap gembira kerana olahraga berjaya mencapai sasaran lima emas walaupun terpaksa menelan kepahitan gagal meraih beberapa lagi emas tambahan.

"Semua bersemangat untuk menjadi juara di sini, termasuk Azeem Fahmi tapi mungkin pada saringan 100m lelaki kelmarin dia sedikit gementar. Ia normal setiap manusia akan menggerakkan kaki atau tangan jika gementar, jadi saya tidak rasa dia melakukan apa-apa kesalahan hanya tertekan," katanya.

Muthu berkata atlet olahraga negara akan berehat dalam tempoh satu atau dua minggu selepas ini sebelum menyambung semula latihan untuk persediaan beberapa kejohanan besar termasuk Sukan Sea Kemboja tahun depan.

Selain Nor Sarah, atlet lain yang menyumbang emas buat negara dalam acara olahraga ialah Andre Anura Anuar (lompat kijang), Jackie Wong (baling tukul besi), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Grace Wong (baling tukul besi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 1:48 PM