JUN Lim (kanan) berjaya raih gangsa acara Daoshu-Gunshu
JUN Lim (kanan) berjaya raih gangsa acara Daoshu-Gunshu
Fabian Peter dan Ferzalfie Fauzi dan Syafiq Aznan


LUAR biasa dan semakin matang. Itu personaliti yang boleh digambarkan kepada atlet wusyu negara Khaw Jun Lim selepas berjaya meraih gangsa dalam acara Daoshu-Gunshu walaupun dia langsung tidak diletakkan sebarang harapan.

Berusia 21 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan, Jun Lim berjaya mengejutkan jurulatihnya sendiri, Lim Yew Fai selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam disiplin Gunshu (semalam) serta Daoshu (hari ini) seterusnya mengumpul 19.29 mata.

“Saya gembira dan terkejut dengan pencapaian ini. Ia bukan mudah kerana semua negara sangat kuat,” katanya yang membuat penampilan kali kedua di Sukan SEA.

Jun Lim berjaya memperbaiki pencapaian dua tahun lalu di Singapura di mana ketika itu dia hanya menduduki tempat kelima.

“Antara sebab mengapa saya boleh memberikan aksi cemerlang ialah kerana mahu membuatkan negara kita berasa bangga. Saya sentiasa bekerja keras dan tidak pernah putus asa. Paling penting ialah saya berjaya mempertingkatkan kemahiran dan stamina.

“Selepas ini saya akan beraksi dalam acara Changquan dan saya tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik. Jika kita berjaya melakukan rutin dalam gelanggang dengan baik sekali, kejayaan pasti akan menjelma,” katanya.

Emas dalam acara Daoshu-Gunshu diraih Jowen Lim dari Singapura yang mencatat 19.37 mata manakala perak milik atlet Indonesia Achmad Hulaefi (19.35).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 3:10 PM