SKUAD petanque shooting lelaki dan wanita gagal mara ke final Sukan Sea Vietnam 2021. FOTO NSTP
SKUAD petanque shooting lelaki dan wanita gagal mara ke final Sukan Sea Vietnam 2021. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: "Runtuh tingkap itu tak apa lagi, jangan tiang itu yang runtuh."

Itu perumpamaan yang diberikan jurulatih petanque negara, Zanilisa Mohamed selepas anak didiknya tersingkir ke final acara shooting lelaki dan wanita Sukan SEA Vietnam 2021 yang berlangsung di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi, hari ini.

Zanilisa berkata, keputusan diraih dalam acara berkenaan sama sekali tidak mengecewakan kem petanque dengan keutamaan ketika ini adalah memberi tumpuan dalam acara double lelaki dan wanita yang dijadual berlangsung dua hari bermula esok.

Katanya, acara shooting sememangnya sukar dijangka memandangkan ia bergantung kepada prestasi atlet pada hari pertandingan berkenaan dan ia tidak berada dalam senarai perancangan pingat seperti disasarkan sebelum ini.

"Perlawanan shooting ini bergantung kepada prestasi atlet pada hari pertandingan itu. Maksudnya sekiranya atlet pada hari prestasinya baik, maka kita boleh ke final dan kalau sebaliknya, kalah awal dan ia bukan acara yang boleh kita letakkan sasaran.

"Jadi apa kita sasarkan adalah esok iaitu dalam acara double yang kita rancang untuk dapatkan pingat emas. MSN (Majlis Sukan Negara) juga sudah jelas dengan sasaran itu," kata Zanilisa ketika ditemui hari ini.

Dalam pusingan penyingkiran acara shooting lelaki hari ini, atlet negara, Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi meraih 26 markah untuk berada di tangga keenam keseluruhan manakala Nurul Balqis Fuzian meraih 24 mata untuk berada di tangga keenam keseluruhan.

Zanilisa dalam pada itu berkata, acara double bakal menjadi 'tiang utama' bagi kem petanque di Hanoi untuk menjelmakan dua emas diimpikan selain mengharapkan pingat dalam acara triple.

"Mahu tak mahu, (acara) esok kita perlu sumbangkan emas kerana persiapan kita dari awal memang memberi fokus kepada acara double lelaki dan wanita disamping mix triple yang akan berlangsung tiga hari lagi. Esok dan lusa acara double dan kedua-duanya kita fokus untuk sumbangkan emas.

"Bagi saya, kita menyenaraikan atlet yang matang (untuk acara double). Mereka bukan kali pertama dan sudah dua tiga kali beraksi di Sukan SEA. Kita sasarkan acara itu kerana seperti kita membina sebuah rumah... apabila kita buat rumah, apa yang kita inginkan itu perlu dibuat.

"Jangan runtuh apa yang kita inginkan itu... maksudnya kalau runtuh tingkap itu tak apa lagi tetapi jangan tiang itu," kata Zanilisa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 3:02 PM