JUWAIDI jaguh memanah negara.
JUWAIDI jaguh memanah negara.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Atlet memanah negara bagi kategori Compound, Juwaidi Mazuki menyatakan rasa syukur dan berbesar hati kerana dipilih untuk memimpin bacaan ikrar buat seluruh barisan atlet negara yang akan menyertai temasya Sukan Sea Hanoi pada awal Mei hadapan.

Bacaan ikrar itu diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Sea ke-31 Vietnam yang disempurnakan YB Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu selaku Menteri Belia dan Sukan.

"Berbesar hati dan berterima kasih kepada yang terlibat dalam melantik saya memimpin bacaan ikrar kontinjen ke temasya Sukan Sea. Alhamdulillah," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Juwaidi yang juga pemenang pingat emas kategori Compound bagi edisi Sukan Sea 2019 di Filipina itu turut memuat naik satu video berdurasi satu minit 23 saat ketika dia sedang mengetuai bacaan ikrar buat kontinjen negara.

"Bahawasanya kami atlet Malaysia berikrar dan akan berusaha memberi seluruh tenaga, usaha dan komitmen kami mengharungi segala cabaran dengan semangat juang tinggi untuk memastikan pencapaian prestasi yang terbaik di bumi Vietnam nanti.

"Untuk rakyat Malaysia, kami berjanji akan menjulang martabat dan maruah negara untuk Malaysia tercinta. Demi Malaysia!"

Demikian ikrar dibaca penuh semangat oleh Juwaidi. Rata-rata peminat sukan tanah air juga tidak terlepas dalam memberikan komen membina dan kata-kata semangat buatnya serta seluruh kontinjen negara.

Pada edisi kali ini Juwaidi akan mengambil bahagian dalam kategori Compound bersama empat lagi atlet lain iaitu Alang Ariff Aqil Ghazali, Syafiq Md Ariffin dan Wong Co Wan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:15 PM