KONTINJEN Muay Thai Melaka ceria selepas ungguli kejohanan.
KONTINJEN Muay Thai Melaka ceria selepas ungguli kejohanan.
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Kontinjen Muay Thai Melaka melakar senyuman bangga selepas tiga pesertanya muncul juara Kejohanan Muay Thai Terbuka yang berlangsung di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Pengurus pasukan Melaka Haris Alias berkata, peserta Kelab Muay Thai Kala Merah Melaka (KMKM) menunjukkan prestasi cemerlang apabila beraksi baik sepanjang kejohanan.

Menurutnya, Arif Amirul Ismail, 14, muncul juara kategori lelaki 50 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil tuan rumah dalam saingan lima pusingan dengan keputusan TKO.

Kecemerlangan Arif diteruskan Hamidar Abd Ghani, 24, yang muncul juara selepas menewaskan peserta tuan rumah bagi saingan kategori wanita 50kg juga menerusi keputusan TKO.

Beliau berkata, Charlene Constance Chai, 25, pula berkongsi kedudukan di tangga teratas kategori PRO 60kg selepas pertarungan dengan wakil tuan rumah berakhir keputusan seri.

“Tiga peserta itu adalah anak jati Melaka. Mereka beraksi dengan baik dan kami yakin atlet bimbingan jurulatih Emrita Alias ini mampu menunjukkan prestasi lebih tinggi pada kejohanan disertai selepas ini.

“Arif menunjukkan potensi besar untuk menyumbang emas Sukan Malaysia (SUKMA) apabila acara Muay Thai bakal diperkenalkan pada 2018 nanti. Kami mengharapkan lebih ramai atlet muda akan muncul sebagai peserta terbaik selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:08 AM