NADAL umum tidak sertai dua kejohanan, sebentar tadi. - FOTO AFP
NADAL umum tidak sertai dua kejohanan, sebentar tadi. - FOTO AFP
AFP

PEMAIN nombor dua dunia Rafael Nadal mengumumkan semalam dia tidak akan beraksi dalam kejohanan ATP Masters di Miami dan Indian Wells bulan ini berikutan kecederaan kaki yang memaksanya menarik diri daripada Terbuka Mexico.

Nadal dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, kecederaan yang dialaminya di Acapulco minggu ini, adalah di bahagian pinggul yang sebelum ini menyebabkan dia tersingkir awal di Terbuka Australia pada Januari.

“Saya tidak dapat beraksi di Miami atau Indian Wells kerana perlu menjalani tempoh pemulihan,” kata Nadal.

“Ia amat memeritkan apabila terpaksa menarik diri di Acapulco dan cukup sukar apabila tidak bermain di Amerika Syarikat.

“Saya akan merindui anda semua dan akan cuba melakukan apa saja untuk kembali ke sana pada tahun 2019.”

Pemenang 16 kali Grand Slam berusia 31 tahun itu menarik diri daripada saingan di Acapulco Selasa lalu, hanya beberapa jam sebelum perlawanan pembukaannya.

Ia adalah kejohanan keenam berturut-turut yang menyaksikan Nadal menarik diri - Basel, Paris, Final Jelajah ATP London, Brisbane, Terbuka Australia dan Acapulco.

Penarikan diri Nadal mencetus rasa kecewa pengarah kejohanan Indian Wells, Tommy Haas.

“Kami kecewa Rafa tidak dapat beraksi untuk gelaran ketiga di Terbuka BNP Paribas tahun ini,” kata Haas. “Kami harap dia segera pulih.”

Nadal menamatkan musim 2017 sebagai pemain paling tua memegang gelaran nombor satu dunia di akhir tahun sepanjang 45 tahun sejarah ranking ATP.

Bagaimanapun dia terlepas takhta itu kepada seteru lamanya, Roger Federer bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 12:44 PM