RAFAEL Nadal. FOTO Reuters
RAFAEL Nadal. FOTO Reuters
AFP

London: Rafael Nadal menarik diri daripada Wimbledon kerana kecederaan perut selepas Ons Jabeur muncul pemain wanita Afrika pertama mara ke final acara perseorangan Grand Slam di era moden.

Keputusan Nadal itu menyaksikan lawannya dari Australia, Nick Kyrgios meraih kemenangan percuma sekali gus melangkah ke pentas final.

Nadal, juara dua kali Wimbledon, kelihatan kesakitan semasa memenangi aksi lima set menentang pemain Amerika, Taylor Fritz.

Harian sukan Sepanyol, Marca melaporkan bahawa Nadal mengalami kesan koyak sepanjang 7 milimeter (mm) di perutnya tetapi masih berhasrat untuk bermain.

Bagaimanapun, pemain berusia 36 tahun itu pada sidang media kemudian mengesahkan bahawa dia terpaksa menarik diri.

"Malangnya, seperti yang anda boleh bayangkan, saya berada di sini kerana saya perlu menarik diri daripada kejohanan ini.

"Seperti yang semua lihat semalam, saya mengalami sakit di bahagian perut dan ada sesuatu yang tidak OK. Kemudian saya disahkan mengalami kesan koyak pada otot," kata pemenang 2008 dan 2010 itu.

Pilihan kedua bergelut sepanjang perlawanan menentang pilihan ke-11, Fritz, tetapi masih berjaya mencipta kemenangan 3-6, 7-5, 3-6, 7-5, 7/6 (10/4) dalam masa empat jam 21 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 7:36 AM