NADAL meraikan kejayaan menewaskan Goffin. FOTO EPA
NADAL meraikan kejayaan menewaskan Goffin. FOTO EPA
AFP

Madrid: Rafael Nadal berkata dia mendapat inspirasi daripada kebangkitan Real Madrid menewaskan Manchester City untuk mengatasi David Goffin 6-3, 5-7, 7-6 (11/9) di Terbuka Madrid, hari ini.

Kemenangan itu terus menghidupkan peluang Nadal untuk memburu kejuaraan keenam di ibu negara Sepanyol itu dan mengesahkan tempat ke suku akhir, di mana dia akan berdepan rakan senegara, Carlos Alcaraz.

Alcaraz yang diletakkan selaku pilihan ketujuh, meraikan ulang tahun kelahiran ke-19 dengan menewaskan pemain nombor 11 dunia, Cameron Norrie 6-4, 6-7(4/7), 6-3.

Semalam, Real meraih gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan City 3-1 sekali gus bakal membuat perhitungan dengan Liverpool pada final Liga Juara-Juara hujung bulan ini.

Nadal, juara 21 gelaran utama, beraksi pada kejohanan kedua selepas berehat enam minggu kerana kecederaan tulang rusuk dan terpaksa berhempas pulas menewaskan Goffin yang kini menduduki ranking ke-60 dunia.

"Semalam adalah malam yang tidak dapat dilupakan. Semangat dipamerkan Real Madrid sangat menakjubkan dan ia memberi inspirasi kepada saya hari ini," katanya pemain berusia 35 tahun itu yang menyaksikan perlawanan berkenaan di Santiago Bernabeu.

Nadal memegang rekod 2-0 sepanjang pertemuan dengan Alcaraz selepas menewaskan lawannya itu di Madrid tahun lalu dan di Indian Wells, Mac lalu.

"Saya rasa ketika ini prestasinya lebih baik berbanding saya," kata Nadal mengenai Alcaraz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 9:58 AM