ISTAF bakal menggunakan kamera berkelajuan tinggi dalam sukan sepak takraw.
ISTAF bakal menggunakan kamera berkelajuan tinggi dalam sukan sepak takraw.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bagi menimbulkan kelainan dan lebih menarik untuk ditonton tidak salah sistem bantahan bervideo digunakan dalam sukan sepak takraw.

Perkara itu disokong bekas pemain sepak takraw negara, Zabidi Shariff yang menyambut baik cadangan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) untuk menggunakan kamera berkelajuan tinggi dalam sukan berkenaan.

Menurut pemenang pingat emas di Sukan Asia Hiroshima 1994 itu, sistem bantahan bervideo akan membuatkan sukan sepak takraw kelihatan lebih menarik.

"Biarlah bagi sukan sepak takraw ini mampu menarik kembali minat orang ramai. Sukan lain pun sudah menaik taraf," katanya yang mengakui perkara berkenaan tidak akan menjejaskan tradisi sepak takraw itu sendiri.

Istaf berpandangan keputusan menggunakan sistem bantahan bervideo tetap akan diteruskan bagi membantu pengadil membuat keputusan tepat pada setiap perlawanan kelak.

Sistem bantahan bervideo akan fokus lebih kepada servis yang dilakukan tekong di bulatan serta servis di base line untuk acara double dan kuadran. "Kadang-kadang kita terpaksa berkorban (melanggar tradisi) kerana mahu memberi kelainan. Sama seperti sebelum ini kita tidak suka sistem mata 21 tapi terpaksa terima untuk menjadikan sukan ini lebih menarik.

"Selain itu kita boleh menggunakan teknologi terkini. Di Eropah sendiri mereka sudah melakukan revolusi dalam sukan dengan memperkenalkan teqball sehingga di terima di seluruh dunia, sedangkan kita masih seperti dulu lagi.

"Sekurang-kurangnya sepak takraw tidak ketinggalan (dari arus pemodenan). Harap mampu menarik minat untuk orang ramai menyaksikan semula sukan ini. Selain ia juga dapat membantu pengadil dalam membuat keputusan," katanya.

Penggunaan 'challenge' kamera akan diperluaskan lagi terutama membabitkan perlawanan penting seperti kejohanan Piala Raja Thai 2022 dan Sukan Asia Hangzhou, China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 5:44 PM