FARAH umum persaraan di Instagram.
FARAH umum persaraan di Instagram.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi akhirnya menamatkan spekulasi apabila secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada gimnastik selepas 25 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.

Farah Ann yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengesahkan keputusannya itu dalam satu hantaran di Instagram.

Dia yang berusia 27 tahun mengumumkan persaraannya sekali gus menjawab persoalan selama ini mengenai perjalanan kariernya.

"Dua puluh lima tahun lalu, seorang anak kecil mengambil keberanian dan menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.

"Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif.

"Apa yang boleh saya katakan, terima kasih gimnastik atas memori indah dan pengalaman yang diperoleh. Di sepanjang perjalanan itu, saya mengorak langkah untuk mencapai impian saya, layak dan beraksi di Sukan Olimpik, saya bersyukur atas persaraan saya yang mengikut jangka masa.

"Ia begitu menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Gimnastik akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya, kerana ia akan selalu menjadi minat saya. Saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan ini. Saya mungkin bersara sebagai atlet tetapi saya akan sentiasa terus terbabit dalam dunia sukan," kata Farah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 5:47 PM