MEDVEDEV meraikan kejayaannya menewaskan Tsitsipas. FOTO EPA
MEDVEDEV meraikan kejayaannya menewaskan Tsitsipas. FOTO EPA
Reuters

Melbourne: Daniil Medvedev sekali lagi sedia menjadi watak pemusnah impian apabila bakal bertemu Rafael Nadal pada final Terbuka Australia, esok.

Bintang Rusia itu menjadi anggota terbaru memenangi Grand Slam selepas muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), September tahun lalu dengan memusnahkan harapan Novak Djokovic untuk memenangi kejuaraan utama ke-21.

Semalam, pemain nombor dua dunia itu menewaskan Stefanos Tsitsipas 7-6(5) 4-6 6-4 6-1 untuk melangkah ke pentas final Terbuka Australia kali kedua berturut-turut.

Medvedev pantas menyatakan dia cukup teruja untuk menewaskan Nadal.

Jika itu berlaku, bintang Sepanyol itu akan kekal berkongsi rekod 20 kejuaraan Grand Slam bersama Djokovic dan Roger Federer.

"Saya gembira sekali lagi berpeluang untuk mengecewakan seseorang yang mahu melakar sejarah," katanya.

Esok adalah aksi final keempat Medvedev dan setiap kali itulah juga dia bertemu sama ada Djokovic atau Nadal yang menewaskan pemain berusia 25 tahun itu di final Terbuka AS pada 2019.

"Mereka terlalu hebat? Saya sentiasa tunggu mereka di final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 10:26 AM