Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran
Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) terus buntu dengan pendirian Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk tidak membenarkan tiga persatuan negeri termasuk mereka daripada terbabit dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu 12 Februari ini.

Menurut presidennya, Datuk Markiman Kobiran mereka memang tahu mengenai keputusan berkenaan namun tertanya-tanya atas sebab apa tidak dibenarkan untuk terbabit dengan AGM.

"Kita tidak tahu atas sebab apa keputusan ini dibuat. Bukan sebab disiplin, bukan kerana penggantungan, bukan ada salah laku yang kami buat," katanya.

Ujar Markiman, mereka masih lagi ahli gabungan tapi kenapa tidak dijemput ke AGM sama seperti Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dilangsungkan pada 30 Oktober tahun lalu.

"Inikah persatuan yang patut kita hormati?, mereka berkata selepas AGM baru boleh kembali kepada PSM, sudah tentu akan dipecat. Tapi sekarang ini surat pemecatan, surat tindakan disiplin pun tidak ada.

"Mereka ini main suka-suka saja ke? (buat peraturan). Bagaimanapun, kita ada strategi cuma tidak mahu mendedahkannya sekarang. Kami dalam proses melakukan sesuatu," katanya.

Selain PSS dua lagi persatuan negeri ialah Putrajaya dan Sarawak yang dilihat lebih mengambil sikap berhaluan kiri berbanding yang lain apabila enggan kembali semula bersama badan induk itu.

"Strategi kami ini masih lagi dalam peringkat perbincangan, perlu masa selepas itu nanti barulah kami akan mengeluarkan komen," kata Markiman.

Semalam pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz yang berkata, ketetapan itu bukanlah atas kehendaknya tetapi diputuskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PSM sebelum ini.

Minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi PSM memuktamadkan tarikh AGM berkenaan pada 12 Februari dengan lokasinya masih belum dimuktamadkan. Ia akan menjadi pentas pemilihan baharu pucuk pimpinan persatuan itu selepas Datuk Seri Ahmad Ismail meletakkan jawatannya Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:49 PM