MARKIMAN KOBIRAN
MARKIMAN KOBIRAN
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran memohon Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman agar membatalkan keputusan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan (AGM) 2018 Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila mendakwa berlaku perlanggaran perlembagaan.

Markiman yang tewas dalam perebutan jawatan Presiden PSM, mendakwa terdapat lima atau enam perkara utama kerana disifatkannya sebagai salah laku.

“Terdapat lima atau enam perkara asas namun paling utama adalah bilangan pewakilan yang layak mengundi di AGM. Saya sering mempertikaikan pegawai yang dilantik pada AGM lalu adalah dilucut (tidak berhak undi) namun sebaliknya berlaku. Terdapat 36 ahli majlis yang dilantik masih boleh mengundi.

“Sepatutnya hanya ahli gabungan (18 persatuan) boleh mengundi kerana mereka yang membayar yuran. Mereka seharusnya ada kuasa menentukan pimpinan PSM, bukan ahli yang dilantik,” katanya.

Terdahulu Markiman mengadakan pertemuan dengan Zaiton bagi menyerahkan petisyen berhubungi AGM PSM yang berlangsung 24 Jun lalu.

Sementara itu Zaiton berkata, petisyen yang dihantar Markiman akan diteliti pihaknya dan masih sah walaupun sudah 20 hari AGM berlangsung.

“Kami masih menanti laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) daripada PSM berhubung AGM itu. Mereka mempunyai tempoh sehingga 30 hari iaitu 23 Julai nanti.

“Kita akan perhalusi petisyen Markiman dan sekiranya memang berlaku pelanggaran Akta Pembangunan Sukan (APS) 1997, kita akan ambil tindakan tegas,” kata Zaiton.

Jelasnya, secara umum sekiranya persatuan sukan kebangsaan melanggar Seksyen 20 APS seperti mengemukakan laporan palsu, tidak menghantar MYKB selama beberapa tahun dan sebagainya, mereka boleh digantung atau dibatal.

“Bagi kes ini, saya perlu lihat pelanggaran sekiranya berlaku. Saya tidak boleh ulas lanjut kerana belum terima laporan dari PSM. Namun wujud perlanggaran jelas iaitu ada beberapa persatuan negeri tidak menghantar MYKB selama beberapa tahun,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 4:15 PM