Gandingan Nikola Mektic (kiri) dan Mate Pavic dari Croatia mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Davis. FOTO ATP Tour
Gandingan Nikola Mektic (kiri) dan Mate Pavic dari Croatia mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Davis. FOTO ATP Tour
AFP

Turin, Itali: Croatia menyingkirkan pasukan pilihan Itali dalam saingan suku akhir Piala Davis ketika juara beregu lelaki Olimpik, Nikola Mektic dan Mate Pavic menewaskan gandingan Jannik Sinner dan Fabio Fognini pada perlawanan penentuan.

Itali adalah salah satu pasukan pilihan mengungguli kejuaraan namun kecewa dengan kekalahan mengejut Lorenzo Sonego kepada pemain nombor 279 dunia, Borna Gojo pada aksi perseorangan pertama di Turin.

Pemain perseorangan nombor 10 dunia, Sinner memaksa penentuan dalam aksi beregu dengan kemenangan dramatik ke atas Marin Cilic.

Namun Sinner gagal melengkapkan tugasnya berdepan dua pemain di ranking tinggi beregu ketika Mektic dan Pavic menang 6-3, 6-4 sekali gus mengecewakan harapan peminat tuan rumah.

Croatia dijangka berdepan Serbia yang diketuai Novak Djokovic atau Kazakhstan di separuh akhir dekat Madrid.

"Jujur, ia seperti sangat menakjubkan. Saya tidak fikir sesiapapun akan menjangkakan kami mara sejauh ini dan ia rasa sangat hebat untuk ke Madrid." kata Mektic.

Croatia memburu kejuaraan Piala Davis ketiga dan kedua dalam tiga peringkat acara selepas menjulang trofi pada 2018.

Kemenangan itu memastikan tempat mereka pada pusingan akhir Piala Davis tahun depan, dengan empat pasukan yang mara ke separuh akhir layak secara automatik.

"Ia perlawanan yang sangat sengit tetapi pemain berjuang dengan baik. Saya sangat gembira," kata kapten Croatia, Vedran Martic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 10:16 AM