AZIZULHASNI bukan hanya hebat di velodrom tapi juga tangkas di dapur. FOTO NSTP
AZIZULHASNI bukan hanya hebat di velodrom tapi juga tangkas di dapur. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Siapa sangka jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang nyata mempunyai bakat lain selain beraksi di velodrom dengan kayuhan pantasnya.

Prospek pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo itu menerusi entri terbarunya di Facebook berkongsi video cara untuk membuat kuih onde-onde sempena kehadiran bulan Ramadan.

"Assalamualaikum. Alhamdulillah kita sudah memasuki hari keenam Ramadan.

"Kalau korang semua tak tahu nak buat kuih atau pencuci mulut apa untuk berbuka puasa hari ini, di sini saya kongsikan video Ramadan tahun lalu saya buat kuih 'Onde-Onde Jojotya'.

"Kalau iman korang tak kuat, jangan tonton video ini ye. Selamat mencuba semua," katanya.

Azizulhasni atau dikenali sebagai The Pocket Rocketman kini berada di Melbourne, Australia menjalani latihan bersama jurulatihnya, John Beasley untuk persiapan Olimpik Tokyo.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu mempamer peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini dalam usahanya untuk memenangi emas yang diidamkan di pentas temasya sukan terbesar dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 9:20 PM