STUART Ramalingam. FOTO Bernama
STUART Ramalingam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Isu panas yang membelenggu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebenarnya sudah berada dalam pemerhatian projek Road To Gold (RTG) dan kemungkinan akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi.

Jawatankuasa itu sudah mengambil semua maklumat berkaitan atlet termasuklah isu dan masalah yang melanda mereka sebelum mengadakan mesyuarat dalam tempoh 14 hari akan datang.

Penyelaras projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan berkata, isu diluahkan pemenang pingat perak dan gangsa di Sukan Olimpik juga sudah pun berada dalam permerhatian projek berkenaan bagi menyelesaikan 'sekatan' dihadapi Azizulhasni.

"Saya sedar dengan isu dihadapi Datuk Azizulhasni bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan ini adalah sebahagian daripada rangkuman isu atlet yang mana saya sudah siapkan selepas pertemuan dengan kesemua atlet RTG.

"Mesyuarat Jawatankuasa RTG sudah pun dirancang diadakan dalam tempoh dua minggu akan datang dan kesemua keputusan akan dibuat ketika mesyuarat ini berlangsung.

"RTG diwujudkan khas untuk menyelesaikan 'halangan' seperti ini dan malangnya beberapa isu berlarutan seperti kes ini yang bermula sejak setahun setengah lalu antara Datuk Azizulhasni dan MSN, memerlukan saya (penyelaras) untuk memperoleh perincian relevan daripada pelbagai pihak sebelum dibawa ke Jawatankuasa untuk pertimbangan," katanya.

Kenyataan dikeluarkan RTG itu adalah susulan daripada luahan Azizulhasni yang mempersoalkan beberapa isu antaranya seperti sistem sokongan dan ketidakcekapan pengurusan pihak berwajib.

Menerusi luahan di Facebook miliknya, Azizul yang turut digelar The Pocket Rocketman melihat setiap perkara yang dijanjikan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memenuhi permintaan dengan menyediakan fasiliti dan sistem sokongan terbaik di Malaysia sejak meninggalkan Melbourne, Australia, hujung tahun lalu hanya tinggal 'bulan dan bintang'.

Azizul atau lebih mesra dengan panggilan Jijoe berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri perjumpaan dan perbincangan bersama pihak berkaitan namun jawapan yang diterima cukup mengecewakan sekali gus menganggu persiapannya untuk mengharungi Olimpik Paris tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 4:29 PM