Ziyad (kiri) bersama Zulfahmi. Foto Instagram ziyadzolkefli
Ziyad (kiri) bersama Zulfahmi. Foto Instagram ziyadzolkefli
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Atlet para negara Muhammad Ziyad Zolkefli mengimbau kembali kenangan 12 tahun lalu apabila dia menjual char kuetiau di tepi jalan pada zaman remajanya.

"Kisah 12 tahun lalu, aku adalah seorang penjual char kuetiau. Aku peniaga jalanan untuk mencari rezeki yang halal dan aku tak pernah berharap duit daripada ibu bapa pada zaman remaja dulu," tulisnya dalam laman Instagram.

Ziyad, 31, yang memenangi pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada temasya Paralimpik Rio 2016 menyatakan dia berasa seronok dapat mencari duit sendiri setiap bulan hasil menjual char kuetiau.

"Satu nikmat dapat menghasilkan duit sendiri setiap bulan dari hasil gaji menjual char kuetiau," tulisnya yang menyertakan sama gambarnya dengan @zfahmi_ds, orang yang mengajarnya kemahiran memasak char kuetiau sehingga kuali berapi.

"Rindunya zaman muda-muda. Sesiapa yang nak rasa char kuetiau brother ni boleh pergi ke kedai di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor berhadapan perumahan kuarters JKR," katanya.

Ziyad bagaimanapun gagal mempertahankan pingat emas pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini apabila kemenangannya dibatalkan susulan isu kelewatan memasuki bilik menunggu.

Pemegang rekod dunia itu pada awalnya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dengan lontaran sejauh 17.94 meter namun berikutan protes daripada jurulatih Ukraine, kejayaannya itu tidak diperakui penganjur dan keputusannya diklasifikasikan sebagai tidak bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:43 PM