HASRAT Murray untuk beraksi lebih jauh di Rennes tidak kesampaian. FOTO Agensi
HASRAT Murray untuk beraksi lebih jauh di Rennes tidak kesampaian. FOTO Agensi
AFP

Rennes: Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray tersingkir di pusingan kedua Terbuka Rennes tatkala juara tiga kali kejuaraan utama itu masih lagi mencari rentak terbaik di penghujung musim.

Murray yang sekarang ini menduduki ranking ke-116 dunia, tumpas kepada wakil Russia, Roman Safiullin 6-2, 4-6, 6-1.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang kembali dari persaraan pada 2019 selepas mengalami kecederaan pinggul, berjaya menghalang lawan daripada memperoleh mata akhir sebanyak tiga kali sebelum tersungkur.

Murray sebelum ini berjaya mengalahkan pemain Jerman, Yannick Maden 6-3, 6-1 di pusingan pertama di depan 2,000 penonton.

Dua minggu lalu, dia beraksi di Gelanggang Arthur Ashe yang mampu memuatkan 24,000 penonton, namun tumpas dalam perlawanan lima set kepada Stefanos Tsitsipas di pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat.

"Salah satu sasaran saya sekarang sehingga hujung tahun adalah cuma untuk melonjakkan ranking setinggi yang boleh. Bagi merealisasikan impian itu saya harus beraksi dengan kerap.

"Saya masih merasakan mampu bermain pada tahap tertinggi namun setiap kali turun di kejohanan besar saya perlu berdepan pemain ranking lebih tinggi di awal saingan, jadi ia bukan mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 3:26 PM