Aksi Andy Murray di ATP Paris Masters. FOTO AFP
Aksi Andy Murray di ATP Paris Masters. FOTO AFP
AFP

Paris: Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray gagal memungut tujuh mata selain berkata dia tidak berhak menang perlawanan itu kerana tidak beraksi cukup bagus selepas tewas kepada Dominik Koepfer dari Jerman pada Pusingan Pertama Paris Masters.

Murray pemain di ranking 144, diberikan wild card tetapi pemain berusia 34 tahun itu gagal mempamerkan aksi bertenaga sebaliknya bergelut untuk mengatasi lawan sebelum tumpas kepada Koepter 6-4, 5-7, 7-6 (11/9).

Koepfer - disenaraikan lewat sebagai pemain pengganti bagi pemain kelayakan Amerika Syarikat, Jenson Brooksby yang menarik diri kerana kecederaan beberapa jam sebelum perlawanan.

Bagaimanapun aksi Murray mendapat sorakan penonton dan hampir berjaya mengatasi lawan sebelum set penentuan.

Murray mengakui prestasi buruk pada perlawanan itu.

"Saya fikir saya adalah orang paling kecewa dengan corak permainan saya, jujur," kata Murray, yang akan beraksi di acara Stockholm sebelum penutup musim ini.

"Saya melakukannya dengan baik untuk meletakkan diri dalam posisi untuk menang perlawanan tetapi saya tidak fikir saya berhak menang.

"Sememangnya saya melepaskan peluang pada penghujung saingan untuk melakukannya tetapi cara saya melakukannya tidak cukup bagus."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:54 AM