MURRAY bakal berdepan Bublik di pusingan kedua Indian Wells. FOTO Reuters
MURRAY bakal berdepan Bublik di pusingan kedua Indian Wells. FOTO Reuters
AFP

Indian Wells: Bekas pemain nombor satu dunia dari Britain, Andy Murray bangkit daripada ketinggalan set pertama untuk menewaskan pemain Jepun, Taro Daniel 1-6, 6-2, 6-4 pada pusingan pertama Terbuka Indian Wells awal pagi tadi.

Ia juga adalah kemenangan ke-700 buat pemain berusia 34 tahun itu dalam Jelajah ATP sepanjang kariernya sejak memulakan era profesionalnya pada 2006.

"Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Ia adalah sasaran utama saya letakkan kepada diri sendiri pada hujung tahun lepas.

"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengecapi 700 kemenangan ATP. Tidak ramai pemain yang berjaya melakukannya, jadi saya amat berbangga dengan kejayaan ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Murray yang meraih pingat emas Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, berpuas hati kerana berjaya menewaskan Daniel buat kali kedua berturut-turut tahun ini.

Murray memulakan saingannya tahun ini dengan kekalahan di tangan Daniel seawal pusingan kedua Terbuka Australia sebelum dia bangkit menumbangkan pemain nombor 114 dunia itu pada Terbuka Qatar.

"Daniel bermain dengan sangat bagus hari ini tetapi ia mungkin disebabkan saya banyak melakukan kesilapan pada awal permainan. Semuanya kembali menjadi mudah selepas saya memperkemaskan permainan," jelas Murray.

Murray yang kini menghuni ranking ke-84 dunia, bakal berdepan pemain No. 33 dunia dari Kazakhstan, Alexander Bublik di pusingan kedua awal pagi Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 1:17 PM