RAHM pemain golf nombor satu dunia.  FOTO EPA
RAHM pemain golf nombor satu dunia. FOTO EPA
AFP

Washington: Pemain nombor satu dunia, Jon Rahm enggan terlalu yakin dalam misi mempertahankan Kejohanan PGA BMW Amerika Syarikat yang berlangsung di lapangan misteri baginya.

Pemain berusia 26 tahun dari Sepanyol itu menjuarai playoff Piala FedEx di Olympia Fields dekat Chicago tahun lalu dengan menewaskan Dustin Johnson.

Minggu ini dia berusaha mengulanginya di lapangan yang baharu dalam jelajah, Caves Valley di Baltimore, Maryland.

"Saya tak tahu langsung mengenainya. Hampir kosong,'' kata Rahm. "Saya benar-benar tak tahu dan ia seperti misteri bagi saya tapi bagi mereka yang pernah bermain di sini, ia lapangan yang menarik.''

Rahm berdepan musim turun naik termasuk menjuarai kejohanan utama pertamanya di Terbuka AS di Torrey Pines pada Jun lalu selain menerima cahaya mata pertama sejurus sebelum Masters pada April.

Tetapi pada Jun, Rahm yang mendahului dengan enam pukulan pada pusingan ketiga sebagai juara bertahan di kejohanan Memorial terpaksa menarik diri selepas positif Covid-19 dan pada Julai pula dia terpaksa melupakan Olimpik Tokyo selepas sekali lagi dijangkiti virus sama.

Minggu lalu, Rahm mendahului di Northern Trust sebelum cuaca buruk disusuli angin kencang menyebabkan ia ditunda ke Isnin lalu dan dia sekadar menduduki tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 11:24 AM