Aksi pemain golf negara Kelly Tan di Kasumigaseki Country Club dekat Kawagoe. FOTO AFP
Aksi pemain golf negara Kelly Tan di Kasumigaseki Country Club dekat Kawagoe. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain golf wanita negara, Kelly Tan berharap mampu melakukan sesuatu dalam baki dua lagi pusingan untuk saingan individu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kelly yang menamatkan saingan di tempat ke-49 hari ini berkongsi kedudukan dengan Giulia Molinaro (Itali), Magdalena Simmermacher (Argentina) dan Maha Haddioui (Maghribi).

"Selepas dua pusingan, saya mencatatkan empat di atas par, sejujurnya saya bermain dengan baik cuma berdepan beberapa pukulan yang tidak menjadi di lubang tertentu selama dua hari ini," katanya selepas perlawanan pusingan kedua berakhir di Kasumigaseki Country Club.

Ujar pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dia akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam baki dua lagi pusingan menjelang esok dan Sabtu.

"Ini kerana saya masih ada peluang, kerana dalam golf anda tidak tahu apa yang akan berlaku. Harap esok saya dapat buat lebih baik. Kita tengok nanti untuk baki lagi dua pusingan, terima kasih di atas sokongan anda," katanya.

Kelly yang menamatkan saingan di pusingan pertama di kedudukan ke-41 kelmarin, masih lagi tercari-cari rentak terbaik untuk bersaing dengan 60 pemain lain.

Keseluruhan dia melakukan empat atas par dengan penampilan hari ini turut menyamai persembahan kelmarin dengan mengumpul 73 pukulan.

Sekali lagi double bogey di lubang ke-16 menghantui pemain itu apabila ia terjadi buat kali kedua berturut-turut.

Kelly yang berusia 27 tahun turut menghadapi masalah di lubang pertama dan kesembilan apabila sekali lagi melakukan bogey di kedua-dua lubang berkenaan sama seperti hari pertama.

Dua lagi bogey yang dicatatkan Kelly ialah di lubang keempat, kesembilan dan ke-10 namun sedikit melegakan dia juga berjaya membenam birdie di lubang keenam, ke-14, ke-15 dan ke-17.

Kelly layak beraksi di Tokyo 2020 selepas menduduki ranking ke-42 daripada 60 peserta dalam ranking Olimpik.

Sementara itu, pemain golf AS, Nelly Korda melonjak ke tangga teratas dengan mengumpul 13 di bawah par dan dibantu selepas membenam eagle di lubang keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 7:55 PM