PANDELELA, Dhabitah (kanan) bersama pemenang pingat emas dari China dan Perak milik penerjun AS. -FOTO Reuters
PANDELELA, Dhabitah (kanan) bersama pemenang pingat emas dari China dan Perak milik penerjun AS. -FOTO Reuters
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg terus membuktikan usia bukanlah masalah untuk menyinar di pentas antarabangsa apabila menghadiahkan pingat gangsa kedua buat Malaysia menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita di Kejohanan Dunia FINA di Budapest, Hungary awal pagi tadi.

Status sebagai antara atlet yang sudah berusia tidak menghalang Pandelela bersama pasangannya Nur Dhabitah Sabri memberi saingan sengit kepada peserta lain sebelum mengakhiri acara berkenaan di tempat ketiga menerusi pungutan mata keseluruhan 298.68.

Walaupun diberi tentangan sengit oleh peserta dari Jepun dan Jerman namun terjunan konsisten dilakukan oleh dua penerjun negara membolehkan mereka menaiki podium di belakang wakil dari China dan Amerika Syarikat (AS).

Seperti yang diramal, peserta dari China, Chen Yuxi dan Quan Hongchan masing-masing berusia 15 serta 16 tahun cukup sukar digugat apabila memenangi emas dengan mengutip 368.40 mata.

Tempat kedua pula milik peserta dari AS Delaney Schnell dan Katrina Young apabila mengutip 299.40 iaitu perbezaan hanya satu mata saja berbanding wakil negara.

Isnin lalu menyaksikan Pandelela memenangi gangsa acara 10m platform wanita selepas mengutip 338.85 mata keseluruhan, ketinggalan 78.4 di belakang Yuxi yang memenangi emas.

Hongchan, yang mengatasi Yuxi untuk emas Olimpik Tokyo, di tempat kedua dengan 416.95 mata iaitu hanya 0.4 di belakang rakan senegaranya itu.

Mengikut rekod, pada edisi 2019, Pandelela menduduki tempat kelima dalam acara 10m platform, namun membawa pulang perak dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Datuk Leong Mun Yee.

Dhabitah berpeluang sekali lagi untuk melakar kejutan dengan membawa pingat untuk negara apabila akan turun dalam acara 3m platform seirama wanita bergandingan bersama Ng Yan Yee pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 7:13 AM