Aksi jaguh muda China, Quan Hongchan dalam acara 10m platform individu. FOTO AFP
Aksi jaguh muda China, Quan Hongchan dalam acara 10m platform individu. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Penerjun muda China, Quan Hongchan mempamerkan tiga terjunan sempurna 10 markah dalam aksi memukau untuk memenangi pingat emas acara 10 meter (m) platform individu wanita Olimpik, hari ini.

Quan, 14 tahun adalah atlet termuda China di Tokyo, menewaskan rakan senegara Chen Yuxi di kedudukan kedua dengan mencatat mata keseluruhan menakjubkan 466.20 mata.

Chen, 15, penyandang juara dunia yang sudah memenangi emas dalam acara 10m seirama, menamatkan saingan dengan perbezaan 39.80 mata.

Atlet Australia, Melissa Wu menduduki tempat ketiga dengan 371.40 mata.

Quan diberikan 10 markah sempurna daripada semua tujuh juri bagi terjunan kedua dan keempatnya. Bagi pusingan kelima, enam juri memberikannya 10 markah dan seorang 9.5 markah, tetapi ia sudah mencukupi untuk memperoleh markah maksimum 96.00 mata.

China memenangi enam daripada tujuh acara terjun yang dijalankan di Tokyo setakat ini selepas merangkul tujuh daripada lapan emas di Rio de Janeiro lima tahun lalu.

Mereka turut layak ke acara akhir, 10m platform lelaki yang dilangsungkan esok.

Jaguh Britain, Tom Daley pastinya akan merencatkan pesta China sekali lagi selepas memenangi emas 10m seirama bersama gandingannya, Matty Lee minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:30 PM